Category Archives: Tazkirah
Kepentingan Akal Dalam Memahami Syariat Islam
Allah swt telah mengurniakan akal kepada setiap manusia untuk mereka menggunakan nikmat pemberian tersebut dengan sebaik-baiknya dalam meniti kehidupan di atas muka bumi ini. Dengan adanya akal manusia mampu mentadbir alam ini dengan sempurna supaya kehidupan ini mampu dilalui dalam keadaan yang harmoni dan teratur. Namun kadangkala akal pemberian Allah swt ini disalahgunakan tanpa rasa berdosa kepada penciptanya.
Sesungguhnya akal pemberian Allah swt kepada manusia perlulah digunakan dengan sebaik-baiknya. Allah swt telah menceritakan perihal hamba-hambaNya yang digelar sebagai ‘Ulul al-Bab’. Mereka ialah manusia yang beriman kepada Allah swt dan menggunakan akal pemikiran dengan sebaik-baiknya dalam rangka mentaati segala perintahNya. Firman Allah swt: “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan juga bumi, pada pertukaran waktu malam dan juga siang adalah tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir. Mereka ialah manusia yang sentiasa mengingati Allah swt ketika berdiri, duduk mahupun berbaring. Mereka memikirkan pada penciptaan lagit dan bumi (lalu berkata) : Wahai Tuhan kami sesungguhnya Kamu tidak menciptakan semua ini secara sia-sia, maha suci Engkau maka jauhilah kami daripada azab api neraka.” (Surah Ali Imran: 190-191). Daripada ayat ini jelaslah menunjukkan bahawa tujuan utama penciptaan akal ini adalah untuk melihat kebesaran-kebesaran Allah swt melalui penciptaan alam dan seterusnya tunduk dan patuh kepada segala perintahNya.
Antara kegunaan akal adalah untuk memahami syariat Islam yang telah diturunkan oleh Allah swt melalui kalamNya iaitu al-Quranul Karim dan juga petunjuk RasulNya iaitu Nabi Muhammad saw. Malah akal yang diberikan oleh Allah swt ini merupakan penentu dalam meletakkan hukum bagi setiap manusia yang mukallaf. Sabda Nabi saw: “Diangkatkan penulisan (dosa) daripada tiga golongan: Daripada orang yang tidur sehinggalah dia bangun, daripada kanak-kanak sehinggalah dia bermimpi (baligh) dan daripada orang gila sehinggalah dia waras.” (Hadith direkodkan oleh Imam Abu Daud). Tujuan dikecualikan dosa bagi tiga golongan ini disebabkan keterbatasan dalam penggunaan akal fikiran yang ditelah dikurniakan oleh Allah swt kepada mereka.
Selain itu akal merupakan kurniaan Allah yang cukup besar bagi manusia dalam mengenalpasti dan menganalisis sesuatu hukum dalam syariat Islam. Buktinya kita dibenarkan berijtihad bagi sesuatu hukum yang baru apabila terdapat nas-nas yang jelas bagi permasalahan tersebut. Oleh demikian akal digunakan untuk berijtihad dalam permasalahan tersebut melalui dalil-dalil yang berbentuk umum. Namun ijtihad ini tidaklah boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya tetapi mestilah melalui individu-individu yang diiktiraf ketinggian ilmu mereka dalam selok-belok agama. Antaranya lagi, akal digunakan dalam permasalahan qiyas iaitu meletakkan hukum bagi permasalahan baru berdasarkan hukum yang sedia ada melalui persamaan illah (sebab). Contohnya pengharaman menagih dadah yang diqiyaskan kepada pengharaman arak melalui sebabnya iaitu menghilangkan kewarasan akal manusia.
Walaupun dibenarkan untuk kita menggunakan akal dalam perbahasan-perbahasan berkaitan dengan syariat Islam namun perlulah kita ketahui bahawa akal manusia tidak boleh melangkau dan melepasi batasan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Sebaliknya akal manusia perlulah mengikut sesuatu yang telah diterangkan oleh Allah swt dan RasulNya. Dalam hal ini Allah swt telah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu kamu mendahului urusan Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah swt , sesungguhnya Allah swt itu maha mendengar lagi maha mengetahui.” (Surah al-Hujurat: 1). Akal yang waras perlulah mengikut ketetapan hukum-hukum daripada al-Quran dan al-Sunnah. Sesungguhnya setiap yang dinyatakan oleh Allah swt itu merupakan perkara yang terbaik bagi sekalian manusia dalam segala aspek kehidupan mereka. Maka sesiapa yang meminggirkan al-Quran dan al-Sunnah secara sengaja bermakna mereka telah mendahului urusan Allah swt dan RasulNya.
Akal yang diberikan oleh Allah swt kepada kita perlulah diselarikan dengan pemahaman dalil-dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Dalam Islam akal digunakan untuk menghuraikan ayat-ayat al-Quran dan juga Sunnah Nabi saw dengan mengikut disiplin-disiplinnya yang tertentu. Kita dilarang sama sekali untuk meletakkan akal sebagai sumber hukum dan menjadikan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah sebagai penghurainya. Ini merupakan kaedah yang salah kerana mendahulukan akal daripada dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah.
Dalam memahami ayat-ayat al-Quran kita sewajibnya melihat kepada huraian-hurain para ulama’ tafsir yang muktabar. Dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran para ulama’ menggunakan dua metode yang utama iaitu al-Tafsir bi al-Ma’thur dan al-Tafsir bi al-Ra’y. Maksud al-Tafsir bi al-Ma’thur adalah menghuraikan ayat-ayat al-Quran dengan berpandukan ayat-ayat al-Quran yang lain. Di samping itu kaedah tafsir ini juga menghuraikan ayat-ayat al-Quran dengan menggunakan hadith-hadith Nabi saw dan athar para sahabat.
Kaedah al-Tafsir bi al-Ra’y ialah kaedah huraian ayat-ayat al-Quran dengan mengetengahkan pendapat-pendapat peribadi mahupun pandangan para sarjana Islam yang lain. Daripada huraian-huraian melalui kaedah ini maka terserlahlah hikmah-hikmah daripada ayat-ayat al-Quran yang kadangkala tidak mampu dilihat oleh mata-mata manusia. Antara karya tafsir yang menggunakan pendekatan ini ialah kitab Fi Zilal al-Quran karangan Ustaz Sayyid Qutb rhm. Walaupun begitu kaedah al-Tafsir bi al-Ma’thur perlulah diutamakan dalam perbahasan-perbahasan ayat-ayat al-Quran dan seterusnya diselitkan hikmah-hikmah dan juga pandanga-pandangann yang mampu memberi manfaat kepada para pembaca dengan menggunakan kaedah al-Tafsir bi al-Ra’y.
Untuk memahami hadith-hadith Nabi saw, akal memainkan peranan utama untuk memahaminya. Dalam perbahasan hadith-hadith Nabi saw terdapat dua kajian utama iaitu kajian sanad (jalur periwayatan) dan juga kajian matan (teks hadith). Kajian terhadap sanad berkaitan dengan kajian terhadap periwayat-periwayat hadith sebelum ianya sampai kepada Nabi saw manakala kajian terhadap matan ataupun teks hadith meliputi pemahaman dan pengeluaran hukum-hukum daripada sesuatu hadith tersebut. Perlulah kita ambil perhatian bahawa tidak semua hadith yang kita dengari itu boleh diterima bulat-bulat tetapi perlulah kita ketahui status hadith tersebut sama ada ianya diterima atau tidak oleh para sarjana hadith. Hal ini kerana terdapat banyak kata-kata dusta yang telah disandarkan kepada Nabi saw yang sama sekali tidak berkaitan dengan Baginda saw. Oleh itu kita perlu merujuk kepada ahlinya supaya tidak tertipu dengan hadith-hadith palsu tersebut. Dalam hal ini Nabi saw pernah memberi peringatan dengan sabda Baginda : “Sesiapa yang berdusta ke atasku maka dia telah menempah tempat duduknya di dalam neraka.” (Hadith Muttafaqun ‘Alaih). Salah seorang tabi’in iaitu Muhammad bin Sirin rhm telah memberi peringatan sepertimana yang telah dinukilkan oleh Imam Muslim dalam kitab Sahihnya dengan berkata: “Sesungguhnya ilmu ini ialah urusan agama, maka lihatlah daripada siapakah kamu mengambil agama kamu.”
Kesimpulannya akal memainkan peranan penting dalam memahami syariat Islam. Dengan adanya akal yang waras segala hukum mampu difahami oleh umat Islam. Namun akal yang dikurniakan itu perlulah selari dengan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah tanpa sebarang pertikaian. Sesungguhnya tidak salah untuk mencari hikmah-hikmah di sebalik intipati al-Quran dan al-Sunnah tetapi untuk melangkaui batas-batas al-Quran dan al-Sunnah merupakan perkara yang dilarang dalam Islam.
Perbuatan bentuk Keimanan
Kepentingan berada di atas jalan kebenaran. Tiga perkara asas ialah keyakinan dalam hati, hadir dalam tutur kata dan amal syariat Islam
Sesungguhnya Islam menggalakkan umatnya untuk berada di atas jalan kebenaran. Kebenaran yang dimaksudkan meliputi pelbagai keadaan sama ada dengan hati, percakapan mahupun tindakan. Malah kita disuruh oleh Allah swt untuk memohon ditunjukkan jalan kebenaran iaitu jalan mereka yang berjaya di sisi Allah swt dan beroleh nikmat daripada-Nya.
Nikmat yang cukup besar bagi manusia apabila dia berada dalam cara hidup Islam. Hal ini bertepatan dengan firman Allah swt dalam Surah al-Fatihah ayat 6-7: “Tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus (benar), iaitu jalan-jalan yang Engkau berikan kepada mereka nikmat-nikmat dan bukanlah jalan mereka yang dibenci dan juga bukan pula jalan mereka yang sesat.” (Surah al-Fatihah, ayat 6-7)
Membuktikan Cinta Sebenar Kepada Rasulullah
Firman Allah swt : “Sesungguhnya pada diri Rasulallah terdapatnya contoh ikutan yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan (keredhaan) daripada Allah swt dan kebaikan pada hari akhirat”. (Surah al-Ahzab:21). Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan tentang keindahan akhlak Nabi saw. Malahan setiap muslim dituntut untuk mengikuti segala sifat dan akhlak mulia yang terdapat pada peribadi Baginda saw.
Antara faktor utama Nabi saw diutuskan adalah untuk menunjukkan akhlak yang mulia kepada sekalian manusia untuk dijadikan contoh utama. Sabda Nabi saw : “Sesungguhnya aku diutuskan dengan tujuan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”. (Direkodkan oleh Ibnu ‘Abd al-Bar dan dinilai sahih oleh al-Albaniy).

Sesungguhnya rasa cinta kepada Allah swt tidak lengkap jika kita tidak menjadikan Nabi Muhammad saw sebagai ikutan utama dalam kehidupan. Allah swt telah berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad) jika kamu semua mencintai Allah maka ikutlah aku (Nabi Muhammad), nescaya Allah swt akan mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. (Surah Ali Imran :31).
Inilah syarat utama yang Allah swt letakkan kepada kita dalam mencintaiNya iaitu perlulah mengikut arahan dan teladan yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw.Jika kita tidak mengambil Rasulallah saw sebagai ikutan maka cacatlah cinta kita kepada Allah swt. Dalam ayat yang lain Allah swt juga telah berfirman: “Dan apa sahaja yang dibawa oleh Rasul (Muhammad) maka ambillah ia dan apa sahaja yang dia larang maka hindarilah ia”. (Surah al-Hasyr: 7).
Pendidikan Al-Quran kepada Remaja pada Musim Cuti Persekolahan
Oleh
Muhammad Asyraf
Remaja perlu manfaatkan cuti sekolah dengan mendalami al-Quran, perbaiki bacaan dan seumpamanya
Apabila masuknya musim cuti persekolahan, ibubapa dan para remaja akan memikirkan aktiviti-aktiviti yang bakal dilakukan bagi memenuhi waktu terluang. Pelbagai perancangan dan tentatif diaturkan bagi mengelakkan para remaja meluangkan masa dengan perkara-perkara yang kurang berfaedah di sampng mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam aktiviti sosial yang boleh merosakkan moral dan juga akhlak. Antara aktiviti yang dilihat mampu memberikan faedah kepada kehidupan dan juga jiwa para remaja pada musim cuti persekolahan ini adalah dengan menghadiri kelas-kelas pengajian al-Quran.

Antara faedah yang paling utama dengan menghantar para remaja ke kelas-kelas pengajian al-Quran ialah diharapkan ianya mampu memelihara diri mereka daripada terjerumus ke dalam perkara-perkara yang tidak baik dan mampu mengundang dosa dalam kehidupan mereka. Apabila mereka disibukkan dengan membaca ayat-ayat Allah swt, maka secara tidak langsung akan menyebabkan mereka terpelihara daripada penyakit-penyakit hati disebabkan kekosongan daripada mengingati Allah swt.
Akhlak Mulia dalam Berfesyen
Bersama
Muhammad Asyraf
Berfesyen hendaklah mengikut syariat
Sabda Nabi saw : ” Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak” (Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr dan dinilai sahih oleh al-Albani). Hadith ini menunjukkan kepada kita bahawa antara tujuan Nabi saw diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak umat manusia. Penyempurnaan akhlak ini adalah melalui contoh dan teladan mulia yang ditunjukkan oleh Baginda kepada umatnya atau disebut sebagai qudwah hasanah. Dalam hal ini Allah swt telah berfirman : “Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulallah itu peribadi yang mulia”. (al-Ahzab:21). Antara akhlak-akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Rasulallah saw adalah dengan menjaga penampilan diri Baginda di hadapan khalayak ramai. Hal ini termasuklah bagaimana ‘fesyen baginda’ ketika berpakaian.

Perlu pilih fesyen yang bersesuaian untuk dipakai sehari-hari agar tidak bertentangan dengan syariat. – Gambar hiasan
Adakah salah untuk kita berfesyen? Sesungguhnya Islam tidak melarang umatnya untuk mengenakan sesuatu fesyen sama ada dalam bentuk pakaian ataupun aksesori kecantikan. Sesungguhnya Allah menyukai hamba-hambaNya yang menjaga keterampilan diri dan kecantikan. Malah Allah swt menyukai sesuatu perkara yang cantik dan indah.
Bertadarus sepanjang Ramadan
Oleh
Muhammad Asyraf
BHOnline Ruangan Agama (2012/7/12)
Berazam tingkat bacaan dan hayati kalamullah
Jika kita menelusuri sirah Nabi Muhammad SAW, kita mendapati bahawa Rasulullah amat menitikberatkan ibadat pembacaan al-Quran dan mengutamakan ia apabila masuk Ramadan. Ibnu ‘Abbas ra berkata “Nabi SAW adalah manusia terbaik, dan Baginda menjadi lebih baik apabila datangnya Ramadan ketika Jibril bertemu Baginda pada setiap malam dalam bulan Ramadan untuk bertadarus al-Quran. Baginda akan membacanya dengan amat baik seperti angin yang bertiup lembut.” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Melalui hadis ini Imam Ibnu Rejab menyatakan disunatkan seseorang itu mempelajari al-Quran pada Ramadan di samping mengajak manusia lain bersama-sama membacanya dan disunatkan juga untuk memperdengarkan bacaan kepada mereka yang lebih elok bacaannya.
“Tidak akan beroleh kefahaman bagi sesiapa yang mengkhatam al-Quran kurang daripada tiga hari.” (Hadith Sahih Riwayat Imam Abu Daud).
Hadis ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah sering kali bertadarus al-Quran pada waktu malam kerana pada waktu itu adalah masa yang tenang untuk jiwa manusia melakukan ibadat dan menghayati setiap ayat al-Quran yang dibaca.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya ibadat pada waktu malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih baik bacaannya.” (Surah al-Muzzammil ayat enam).
Dalam hadis lain puteri Baginda iaitu Fatimah ra menceritakan bahawa Baginda bertadarus al-Quran bersama Jibril sekali dan pada tahun kewafatan baginda bertadarus bersama Jibril dua kali.”(HR Imam al-Bukhari dan Muslim).
Sepertiga malam masa sesuai berdoa, taubat
Oleh
Muhammad Asyraf
BHOnline Ruangan Agama (2012/07/03)
Kelebihan qiamullail, solat sunat tahajud
Solat, rukun Islam kedua adalah tiang kepada agama dalam kehidupan harian seseorang muslim. Apabila Nabi SAW mengibaratkan solat sebagai tiang sesuatu binaan, maka dapatlah kita gambarkan bahawa solat adalah ibadat agung dan penting yang perlu dilaksanakan setiap Muslim. Ibadat agung penting
Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya aku akan memakbulkan untuknya, sesiapa yang meminta kepada-Ku nescaya aku akan memberikannya dan sesiapa yang memohon taubat kepada-Ku nescaya aku akan ampunkan dosanya. – Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Perkara tertinggi sesuatu urusan itu adalah Islam dan tiangnya adalah solat.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi)
Jika rosak ibadat solatnya maka akan rosak dan runtuhlah amalan ibadat yang lain yang diikat oleh tiang solat tersebut.
Cinta bukan tiket gadai maruah
Oleh
Muhammad Asyraf
BHOnline Ruangan Agama (2011/12/06)
Remaja mesti bijak jaga penampilan elak digoda lelaki
PENGUMUMAN di akhbar tempatan berkenaan isu pembuangan bayi, keterlanjuran gadis dan masalah sosial di kalangan remaja agak merunsingkan. Statistik menggambarkan betapa seriusnya krisis itu. Fokus kita bukan sekadar menyalahkan remaja perempuan. Ia juga membabitkan lelaki yang tidak bertanggungjawab meragut kesucian wanita. Namun, kita cuba mengatasi detik bagaimana wanita begitu mudah terpedaya pujuk rayu lelaki.
Mereka akhirnya terpaksa menanggung beban hamil anak luar nikah, ditinggalkan lelaki yang tidak mahu bertanggungjawab, maka anak tidak bersalah itu dibuang begitu saja. Pengharaman pembuangan bayi jelas bagi kita.
Firman Allah bermaksud: “Jangan kamu membunuh anakmu lantaran takut kelaparan, Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka mahupun kepadamu; sesungguhnya membunuh mereka suatu dosa besar.” (Surah al-Israk, ayat 31).
Menariknya, ayat berkenaan pengharaman membunuh ataupun membuang anak itu diiringi ayat yang menghalang zina.
Ayat berikut dalam surah yang sama bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Israk, ayat 32)
Kesinambungan ayat ini menggambarkan cara Islam yang menitikberatkan mencegah lebih baik daripada merawat. Namun, jika ditanya kepada si pelaku, adakah mereka tidak mengetahui pengharaman zina? Jawapan yang pasti ialah mereka mengetahui hukumnya. Namun, nafsu sudah menguasai diri dan lebih kuat dalam menolak wahyu.
Sebelum menuding jari ke pihak lain, remaja perempuan perlu mengetahui sifat mereka dari segi fizikal dan jiwa yang berbeza. Antara sifat wanita yang banyak dipergunakan lelaki adalah kelemahan dan kelembutan fizikal mereka.
Begitu juga naluri cinta dan setia serta kepercayaan tidak berbelah bahagi terhadap pasangan membuatkan wanita mudah terpedaya. Oleh itu, berhati-hatilah sebelum bersahabat dengan lelaki walau apa saja latar belakang mereka.
Islam tidak membezakan lelaki baik atau tidak, tetapi menjelaskan bagaimana wanita dapat menghindari gangguan lelaki dengan menjaga penampilan diri.
Firman Allah bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59).
Ayat ini memberi panduan kepada wanita menjaga penampilan supaya menutup aurat yang secara tidak langsung memberi gambaran kepada lelaki mereka wanita baik dan sukar digoda. Ayat ini juga antara janji Allah SWT bahkan syarat pertama bagi wanita mengawal daripada diganggu.
Islam menitikberatkan tanggungjawab bapa mengawal anak gadis. Kaedah mendidik anak lelaki dan perempuan berbeza. Anak perempuan hadiah syurga kepada ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa memiliki tiga puteri atau tiga saudari atau dua puteri atau dua saudari dan mendidiknya dengan baik serta menjadikannya bertakwa kepada Allah, maka baginya syurga.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Syeikh Jamal Abdurrahman dalam kitabnya Athfal Muslimin Kaifa Rabbahum an-Nabiyyu al-Amin, menyatakan Nabi SAW melarang anak berusia 10 tahun tidur bersama dalam satu selimut dan dipisahkan tempat tidur mereka.
Ayah juga perlu menjadi tempat bermanja bagi anak perempuan untuk mengelak mereka menagih kasih lelaki bukan mahram. Contohi saja kemesraan Nabi SAW dengan puteri kesayangannya, Fatimah.
Walaupun Rasulullah SAW mesra dan cinta kepada anaknya, kecintaan itu tidak menjadikan Baginda mengambil mudah terhadap tanggungjawab anak. Baginda mendidik Fatimah mengikat tali hubungan yang utuh dengan Allah SWT bersesuaian manfaat agamanya.
Sejarah Islam juga menunjukkan tanggungjawab menjaga anak perempuan terletak di bahu abang atau saudara lelaki. Malangnya, hari ini, abang atau saudara lelaki yang membuka ruang untuk adik mereka diganggu. Selain menjaga diri, ibu dan ayah, lelaki bertanggungjawab menjaga anak atau adik perempuan. Setiap manusia akan ditanya Allah sejauh mana mereka memenuhi amanah itu.








