Category Archives: Ilmiah
Kepentingan Akal Dalam Memahami Syariat Islam
Allah swt telah mengurniakan akal kepada setiap manusia untuk mereka menggunakan nikmat pemberian tersebut dengan sebaik-baiknya dalam meniti kehidupan di atas muka bumi ini. Dengan adanya akal manusia mampu mentadbir alam ini dengan sempurna supaya kehidupan ini mampu dilalui dalam keadaan yang harmoni dan teratur. Namun kadangkala akal pemberian Allah swt ini disalahgunakan tanpa rasa berdosa kepada penciptanya.
Sesungguhnya akal pemberian Allah swt kepada manusia perlulah digunakan dengan sebaik-baiknya. Allah swt telah menceritakan perihal hamba-hambaNya yang digelar sebagai ‘Ulul al-Bab’. Mereka ialah manusia yang beriman kepada Allah swt dan menggunakan akal pemikiran dengan sebaik-baiknya dalam rangka mentaati segala perintahNya. Firman Allah swt: “Sesungguhnya pada penciptaan langit dan juga bumi, pada pertukaran waktu malam dan juga siang adalah tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir. Mereka ialah manusia yang sentiasa mengingati Allah swt ketika berdiri, duduk mahupun berbaring. Mereka memikirkan pada penciptaan lagit dan bumi (lalu berkata) : Wahai Tuhan kami sesungguhnya Kamu tidak menciptakan semua ini secara sia-sia, maha suci Engkau maka jauhilah kami daripada azab api neraka.” (Surah Ali Imran: 190-191). Daripada ayat ini jelaslah menunjukkan bahawa tujuan utama penciptaan akal ini adalah untuk melihat kebesaran-kebesaran Allah swt melalui penciptaan alam dan seterusnya tunduk dan patuh kepada segala perintahNya.
Antara kegunaan akal adalah untuk memahami syariat Islam yang telah diturunkan oleh Allah swt melalui kalamNya iaitu al-Quranul Karim dan juga petunjuk RasulNya iaitu Nabi Muhammad saw. Malah akal yang diberikan oleh Allah swt ini merupakan penentu dalam meletakkan hukum bagi setiap manusia yang mukallaf. Sabda Nabi saw: “Diangkatkan penulisan (dosa) daripada tiga golongan: Daripada orang yang tidur sehinggalah dia bangun, daripada kanak-kanak sehinggalah dia bermimpi (baligh) dan daripada orang gila sehinggalah dia waras.” (Hadith direkodkan oleh Imam Abu Daud). Tujuan dikecualikan dosa bagi tiga golongan ini disebabkan keterbatasan dalam penggunaan akal fikiran yang ditelah dikurniakan oleh Allah swt kepada mereka.
Selain itu akal merupakan kurniaan Allah yang cukup besar bagi manusia dalam mengenalpasti dan menganalisis sesuatu hukum dalam syariat Islam. Buktinya kita dibenarkan berijtihad bagi sesuatu hukum yang baru apabila terdapat nas-nas yang jelas bagi permasalahan tersebut. Oleh demikian akal digunakan untuk berijtihad dalam permasalahan tersebut melalui dalil-dalil yang berbentuk umum. Namun ijtihad ini tidaklah boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya tetapi mestilah melalui individu-individu yang diiktiraf ketinggian ilmu mereka dalam selok-belok agama. Antaranya lagi, akal digunakan dalam permasalahan qiyas iaitu meletakkan hukum bagi permasalahan baru berdasarkan hukum yang sedia ada melalui persamaan illah (sebab). Contohnya pengharaman menagih dadah yang diqiyaskan kepada pengharaman arak melalui sebabnya iaitu menghilangkan kewarasan akal manusia.
Walaupun dibenarkan untuk kita menggunakan akal dalam perbahasan-perbahasan berkaitan dengan syariat Islam namun perlulah kita ketahui bahawa akal manusia tidak boleh melangkau dan melepasi batasan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Sebaliknya akal manusia perlulah mengikut sesuatu yang telah diterangkan oleh Allah swt dan RasulNya. Dalam hal ini Allah swt telah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu kamu mendahului urusan Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah swt , sesungguhnya Allah swt itu maha mendengar lagi maha mengetahui.” (Surah al-Hujurat: 1). Akal yang waras perlulah mengikut ketetapan hukum-hukum daripada al-Quran dan al-Sunnah. Sesungguhnya setiap yang dinyatakan oleh Allah swt itu merupakan perkara yang terbaik bagi sekalian manusia dalam segala aspek kehidupan mereka. Maka sesiapa yang meminggirkan al-Quran dan al-Sunnah secara sengaja bermakna mereka telah mendahului urusan Allah swt dan RasulNya.
Akal yang diberikan oleh Allah swt kepada kita perlulah diselarikan dengan pemahaman dalil-dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Dalam Islam akal digunakan untuk menghuraikan ayat-ayat al-Quran dan juga Sunnah Nabi saw dengan mengikut disiplin-disiplinnya yang tertentu. Kita dilarang sama sekali untuk meletakkan akal sebagai sumber hukum dan menjadikan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah sebagai penghurainya. Ini merupakan kaedah yang salah kerana mendahulukan akal daripada dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah.
Dalam memahami ayat-ayat al-Quran kita sewajibnya melihat kepada huraian-hurain para ulama’ tafsir yang muktabar. Dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran para ulama’ menggunakan dua metode yang utama iaitu al-Tafsir bi al-Ma’thur dan al-Tafsir bi al-Ra’y. Maksud al-Tafsir bi al-Ma’thur adalah menghuraikan ayat-ayat al-Quran dengan berpandukan ayat-ayat al-Quran yang lain. Di samping itu kaedah tafsir ini juga menghuraikan ayat-ayat al-Quran dengan menggunakan hadith-hadith Nabi saw dan athar para sahabat.
Kaedah al-Tafsir bi al-Ra’y ialah kaedah huraian ayat-ayat al-Quran dengan mengetengahkan pendapat-pendapat peribadi mahupun pandangan para sarjana Islam yang lain. Daripada huraian-huraian melalui kaedah ini maka terserlahlah hikmah-hikmah daripada ayat-ayat al-Quran yang kadangkala tidak mampu dilihat oleh mata-mata manusia. Antara karya tafsir yang menggunakan pendekatan ini ialah kitab Fi Zilal al-Quran karangan Ustaz Sayyid Qutb rhm. Walaupun begitu kaedah al-Tafsir bi al-Ma’thur perlulah diutamakan dalam perbahasan-perbahasan ayat-ayat al-Quran dan seterusnya diselitkan hikmah-hikmah dan juga pandanga-pandangann yang mampu memberi manfaat kepada para pembaca dengan menggunakan kaedah al-Tafsir bi al-Ra’y.
Untuk memahami hadith-hadith Nabi saw, akal memainkan peranan utama untuk memahaminya. Dalam perbahasan hadith-hadith Nabi saw terdapat dua kajian utama iaitu kajian sanad (jalur periwayatan) dan juga kajian matan (teks hadith). Kajian terhadap sanad berkaitan dengan kajian terhadap periwayat-periwayat hadith sebelum ianya sampai kepada Nabi saw manakala kajian terhadap matan ataupun teks hadith meliputi pemahaman dan pengeluaran hukum-hukum daripada sesuatu hadith tersebut. Perlulah kita ambil perhatian bahawa tidak semua hadith yang kita dengari itu boleh diterima bulat-bulat tetapi perlulah kita ketahui status hadith tersebut sama ada ianya diterima atau tidak oleh para sarjana hadith. Hal ini kerana terdapat banyak kata-kata dusta yang telah disandarkan kepada Nabi saw yang sama sekali tidak berkaitan dengan Baginda saw. Oleh itu kita perlu merujuk kepada ahlinya supaya tidak tertipu dengan hadith-hadith palsu tersebut. Dalam hal ini Nabi saw pernah memberi peringatan dengan sabda Baginda : “Sesiapa yang berdusta ke atasku maka dia telah menempah tempat duduknya di dalam neraka.” (Hadith Muttafaqun ‘Alaih). Salah seorang tabi’in iaitu Muhammad bin Sirin rhm telah memberi peringatan sepertimana yang telah dinukilkan oleh Imam Muslim dalam kitab Sahihnya dengan berkata: “Sesungguhnya ilmu ini ialah urusan agama, maka lihatlah daripada siapakah kamu mengambil agama kamu.”
Kesimpulannya akal memainkan peranan penting dalam memahami syariat Islam. Dengan adanya akal yang waras segala hukum mampu difahami oleh umat Islam. Namun akal yang dikurniakan itu perlulah selari dengan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah tanpa sebarang pertikaian. Sesungguhnya tidak salah untuk mencari hikmah-hikmah di sebalik intipati al-Quran dan al-Sunnah tetapi untuk melangkaui batas-batas al-Quran dan al-Sunnah merupakan perkara yang dilarang dalam Islam.
Seruan Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID) Menjelang PRU-13 Malaysia
MURSHID adalah perkumpulan asatizah, pendakwah dan ilmuan Islam yang meyakini bahawa pendekatan Islam yang Wasatiyyah merupakan cara yang terbaik untuk umat Islam melaksanakan Syariat Islam di dalam kehidupan mereka. Bertitik tolak dari kesedaran para ilmuwan merupakan guru dan pembimbing masyarakat, MURSHID terpanggil untuk membuat kenyataan rasmi menjelang PRU-13 sebagai sebahagian dari usaha mendidik dan menasihati masyarakat.
Berpegang kepada prinsip-prinsip fundamental yang telah digariskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam berkaitan politik, kepimpinan, hak warga yang dipimpin dan juga peranan segenap anggota masyarakat seumpama:
1. Prinsip Amanah
al-Quran: “Allah telah memerintahkan kamu agar menunaikan amanah kepada mereka yang berhak, dan apabila kamu menghukum di antara manusia, berhukumlah dengan adil…” (al-Nisa (4): 58).
al-Quran (Ali Imran, (3): 103): “Berpeganglah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai…”
Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam juga berpesan: “Setiap kamu adalah pengembala, dan setiap kamu bertanggungjawab ke atas gembalaanmu” (HR al-Bukhari)
2. Prinsip ‘Adl wa Ihsan
“Allah telah memerintahkan kamu agar menunaikan amanah kepada mereka yang berhak, dan apabila kamu menghukum di antara manusia, berhukumlah dengan adil….” (al-Nisa (4): 58)
Rasulullah Sallaallahu’alaihi wasallam, di antara lain yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan (menyempurnakansesuatu dengan baik) dalam semua perkara.” (HR Muslim)
Di dalam hadis lain, baginda juga ada menyebutkan: “Barangsiapa yang berupaya memberikan manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah ia melakukannya” (HR Muslim);
Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam juga menjanjikan menurut hadis yang disampaikan oleh Abu Hurayrah: “Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Qiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim);
3. Prinsip Amar Ma’ruf Nahy Munkar (Mengajak kepada kebaikan melarang kemungkaran)
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Al Imran (3): 110);
Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam yang menyentuh persoalan tersebut, antaranya: “Barangsiapa yang nampak kemungkaran hendaklah dia merubahnya dengan tangan, dan jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia menggunakan lisannya, dan jika tidak mampu hendaklah dia merubahnya dengan hatinya, maka itu adalah selemah-lemah iman” (HR Muslim.)
Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam bersabda: “Ketua para syuhada di syurga ialah Hamzah, dan seorang lelaki yang berdiri di hadapan pemimpin yang zalim dan menasihatinya, dan kemudian dia dibunuh” (Hadis riwayat al-Hakim.)
Baginda juga menyatakan di dalam makna yang sama: “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemimpin yang zalim” (Hadith riwayat al-Tarmidhi, Abu Daud dan Ibn Majah)
4. Prinsip Islah
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) ummatan wasata (satu umat yang pertengahan), supaya kamu layak menjadi orang yang menjadi Syuhada (saksi dan pemberi keterangan) kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (al-Baqarah (2): 143)
Islah juga merupakan tema asasi perutusan para Nabi dan Rasul. Pendek kata, Islam sepertimana yang telah diturunkan oleh Allah SWT ke atas manusia sekeliannya melalaui para Nabi dan Rasul mempromosikan Islah secara hebat. Islah adalah tugas utama para Khalifah di muka bumi sebagai manifestasi kepada pandangan dunia Tawhid mereka. Tanpa Islah, proses ubudiyyah tidak akan berlaku secara berterusan dan diwarisi turun temurun.
Dari Kami
Tuan Guru Dr Abdul Basit Abdul Rahman (Pengerusi Shura)
Dr Zaharuddin Abd Rahman (Presiden & Ahli Shura)
Tuan Guru Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Ahli Shura)
Dr Zahazan Mohamed (Ahli Shura)
Ustaz Roslan Mohamed (Timbalan Presiden & Ahli Shura)
Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahman (Naib Presiden)
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman (Setiausaha Agung)
Ust Muhd Ramadhan Fitri Ellias (Bendahari Agung)
Ahli Jawatankuasa
Dr Maszlee Malik
Dr Ahmad Wifaq Mokhtar
Dr Mohd Sukki Othman
Ustaz Mohd Asyraf Mohd Ridzuan
Ustaz Fauwaz Fadzil
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir
Ustaz Mohd Aizam Mas’od
Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kassim
Ustaz Mohd Zamri bin Haji Mohd Zainuldin
Ustaz Syed Mohd Nor Hisyam Tuan Padang
Xifu Abdul Naser Abdul Rahman
Menjauhi Unsur-unsur Syirik Dalam Kehidupan
Syirik adalah dosa besar, perlukan taubat nasuha untuk mendapatkan keampunan Allah
Sesungguhnya manusia diperintahkan oleh Allah swt agar manyembahNya dengan penuh keikhlasan dan meninggalkan segala perkara yang membawa kepada perkara-perkara syirik. Syirik bermaksud menyekutukan Allah swt dengan makhluk-makhluk lain dalam urusan ibadah. Dalam kata lain menyembah Allah dan pada masa yang sama menyembah selain daripada-Nya.
Firman Allah swt : (maksudnya) “Sesungguhnya Luqman berkata kepada anaknya ; Janganlan kamu mensyirikkan Allah sesungguhnya syirik itu merupakan suatu kezaliman yang amat besar”. (Surah Luqman: 13).
Zalim bermaksud meletakkan sesuatu perkara bukan pada tempat yang sepatutnya. Dalam ayat ini Allah swt menggambarkan kepada kita bahawa melakukan syirik itu merupakan suatu kezaliman kerana seseorang yang mensyirikkan Alllah swt memesongkan pengabdiannya kepada kuasa-kuasa lain selain daripada Allah swt.
Larangan Menyerupai Gaya Hidup Orang Bukan Islam
Oleh
Muhammad Asyraf
Hidup remaja makin tersasar ajaran syariat
Islam adalah agama dan juga cara hidup yang diturunkan oleh Allah swt kepada sekalian manusia melalui pesuruh dan juga rasulNya iaitu Nabi Muhammad saw. Risalah yang dibawa oleh Baginda saw adalah risalah terakhir dan hanya agama Islam sahaja yang diterima dan diiktiraf oleh Allah swt sebagai anutan dan pegangan seluruh umat manusia tidak kira bangsa, darjat mahupun keturunan.
Dalam hal ini Allah swt telah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 85: “Sesiapa yang mencari selain daripada Islam sebagai agama (cara hidup) maka tidak akan diterima daripadanya dan pada hari akhirat dia termasuk di kalangan orang-orang yang rugi”. Firman Allah swt dalam Surah al-Maidah ayat 3 : “Pada hari ini (hari Arafah) telah Aku sempurnakan agama kamu (Islam) dan telah Aku cukupkan bagi kamu nikmat-nikmatKu dan telah Aku redhai Islam itu sebagai agama kamu semua”.
Daripada kedua-dua ayat ini maka dengan jelas difahami bahawa hanya agama Islam yang diterima oleh Allah swt sebagai panduan manusia dan sesungguhnya agama Islam merupakan agama yang lengkap tidak perlu kepada sebarang penambahan yang ditegah dalam agama sama ada penambahan tersebut berlaku dalam konteks perlaksanaan ibadah tertentu mahupun yang berkaitan dengan pegangan dan juga ideologi pemikiran.
Keistimewaan hari Arafah
Oleh
Muhammad Asyraf
Perbanyakkan doa, zikir dan mohon keampunan pada hari Arafah
Hari Arafah adalah hari perhimpunan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia yang menunaikan ibadah haji. Mereka akan bergerak dan berkumpul di Padang Arafah untuk menunaikan wukuf yang dianggap sebagai kemuncak malah rukun utama bagi ibadah haji.
Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang direkodkan Imam al-Nasai:
“Haji itu adalah hari Arafah, sesiapa yang sempat berwukuf pada malam Arafah sehinggalah terbitnya fajar maka dia telah menunaikan ibadah haji.”
Mengenai hadis wukuf di Arafah Imam al-Tirmidhi berkata: “Sesiapa yang tidak sempat berwukuf di Arafah maka perlulah dia mengulangi hajinya pada tahun berikutnya dan haji itu (tanpa berwukuf di Arafah) hanya dinilah sebagai umrah.”
Begitulah pentingnya wukuf di Arafah bagi mereka yang menunaikan haji dan tidak dianggap sah haji seseorang itu jika mereka tidak sempat berwukuf di Arafah.
Ibadah korban syariat dituntut
Oleh
Muhammad Asyraf
Sembelih haiwan ternakan tanda patuh ajaran, peringati peristiwa bersejarah
Sepuluh awal Zulhijjah dinilai sebagai sepuluh hari yang mulia kerana ia adalah hari-hari penting bagi kaum muslimin terutama mereka yang menunaikan haji. Firman Allah SWT:
“Demi Waktu Fajar dan demi sepuluh malam.” (Surah al-Fajr, ayat 1-2)
Al-Hafiz Ibnu Kathir berpendapat sepuluh malam bermaksud sepuluh hari awal pada bulan Zulhijjah seperti tafsiran yang telah dinyatakan Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair dan Mujahid. Ibadah lain yang besar nilainya pada Zulhijjah adalah ibadah korban. Antara ayat al-Quran yang menyeru manusia melakukan ibadah korban ialah firman Allah SWT:
“Dan tunaikanlah solat (kerana Tuhanmu) dan sembelihlah.” (Surah al-Kauthar, ayat 2)
Imam Syaukani dalam kitab tafsirnya Fath al-Qadir menjelaskan bahawa solat yang dimaksudkan adalah solat sunat Aidiladha dan suruhan sembelihan pula bermaksud ibadah korban seperti dinyatakan oleh Qatadah, ‘Ataa’ dan Ikrimah.
Adab mengadakan majlis walimah
Oleh
Muhammad Asyraf
BHOnline Ruangan Agama (06/09/2012)

Majlis perkahwinan perlu jadi medan mengukuhkan silaturahim serta mengikut batas hukum Islam. – Gambar hiasan
Jemputan wajib hadir rai pengantin walaupun berpuasa
Pasangan yang berkahwin disunatkan mengadakan majlis kenduri atau walimah untuk mengisytiharkan ikatan perkahwinan mereka di samping melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT.
Majlis kenduri sebenarnya bukan sekadar menjemput tetamu menikmati juadah dihidangkan, tetapi ada kaitannya dengan ibadah kepada Allah SWT. Kebanyakan ulama berpendapat mengadakan majlis walimah hukumnya sunat muakkad, amalan amat dituntut dalam Islam.
Meraikan adat perkahwinan hukumnya adalah harus selagi tidak membawa dosa kepada Allah SWT. Jangan sekali mencampurkan majlis dengan aktiviti bertentangan agama”
Kelebihan empat bulan haram
Oleh
Muhammad Asyraf
Elak lakukan kezaliman termasuk berperang
Secara umumnya tiada waktu-waktu tertentu yang perlu diekslusifkan untuk bertaqwa. Tiada juga tempat-tempat tertentu yang dikhususkan untuk mentaati Allah. Samada pagi atau petang ketaatan kepada Allah tetap wajib setiap saat kehidupan. Begitu juga tidak mengira tempat, samada di masjid, pusat membeli belah, rumah, tempat kerja mahupun padang permainan sekalipun wajib kita mentaati Allah. Kerana Allah Maha Melihat. Di mana sahaja kita berada pasti diperhatikannya. Walaupun dalam Islam perlunya ketaatan tanpa mengira tempat dan waktu, namun dalam masa yang sama juga Islam meletakkan juga tempat dan waktu tertentu kelebihan dalam melaksanakan ketaatan.
Beribadat pada bulan Ramadhan, hari Arafah, hari Jumaat, solat pada sepertiga malam sebagai contoh menunjukkan ada kelebihan khusus Allah letakkan kepada hamba-hambaNya yang bijak memilih waktu terbaik. Begitu juga solat dan ibadah di Tanah Haram, adab di masjid dan perkuburan, doa di Raudhah dan banyak lagi tempat yang membuktikan Islam juga tempat tertentu dengan kelebihan berbanding tempat yang lain. Ini kerana Allah mahu melihat siapakah di kalangan hambaNya yang paling berjaya. Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT :
“Maha suci Allah yang di tanganNya segala pemerintahan dan Dialah yang Maha Kuasa atas segala sesuatu perkara. Dialah yang menjadikan kematian dan juga kehidupan untuk menguji siapakah di antara kamu semua yang lebih baik amalannya. Dialah yang maha Perkasa lagi Maha Pengampun”. (Surah al-Mulk: 1-2).
Nilai Kemanusiaan terserlah dalam diri Rasulullah
Oleh
Muhammad Asyraf
Ruangan Agama Berita Harian (20/03/2012)
Sunnah, adab Nabi Muhammad patut dicontohi
Apabila diselingkap sirah Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam, maka kita mendapati ia jauh berbeza dengan agama lain. Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam direkodkan sejarawan Islam dalam bentuk menceritakan nilai kemanusiaan.
Ia tidak digambarkan bersifat ketuhanan seperti penganut agama lain yang terkadang mengaitkan tokoh agama mereka dengan sifat ketuhanan. Islam tidak mengakui Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai anak tuhan.
Tetapi gambaran yang diberikan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam adalah bersifat secocok dengan manusia lain. Baginda juga tidur, makan, dan berkahwin. Ini semua tidak lain dan tidak bukan agar tiada alasan bagi umatnya untuk menyatakan sunnah Nabi itu sesuatu yang sukar dilakukan oleh manusia.
Ini termasuk sunnah yang tidak pernah dilupakan iaitu sunnah Nabi serta adabnya yang boleh ditiru iaitu ketika berada di dalam tandas. Ulama mengumpulkan tatacara serta adab yang boleh dikongsi oleh semua umat.
Batasan hubungan seksual suami isteri
Oleh
Muhammad Asyraf
BHOnline Ruangan Agama (2012/02/21)
Tidak salah guna pelbagai posisi, teknik, tetapi haram melakukan liwat
PERKAHWINAN adalah satu anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya. Islam adalah agama fitrah yang memahami naluri setiap manusia. Allah tidak menciptakan manusia semata-mata untuk menyeksa manusia, sebaliknya diciptakan manusia itu seiring dengan penciptaan sistem yang memenuhi hajat manusia.
Justeru perkahwinan itu juga satu sistem yang memenuhi fitrah seseorang manusia. Perkahwinan menghalalkan manusia menyalurkan nafsu mereka ke arah yang dikehendaki syarak.
Al-Quran membenarkan pasangan lelaki dan wanita yang sudah diijabkabulkan melakukan persetubuhan. Ayat yang diturunkan oleh Allah SWT ini, sebenarnya hadiah bagi memenuhi hajat semua makhluk.
Ayat berupa larangan pula sudah semestinya sesuatu keburukan yang dikenal pasti oleh Allah SWT. Turunnya ayat di dalam surah al-Baqarah ayat 223 yang bermaksud: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang Yang beriman.”
Di dalam ayat ini Allah SWT merestui cara persetubuhan yang dilakukan oleh seorang suami ke atas isteri dalam apa cara sekalipun. Bahkan seakan-akan isteri umpama tempat untuk melampias nafsu suami tanpa had dan batasan.
Namun sebenarnya maksud ayat ini dihuraikan secara tepatnya daripada hadis Nabi SAW sendiri. Ada had-had yang perlu dibatasi oleh seseorang isteri. Antara isu yang yang menjadi kekeliruan adalah hukum mendatangi isteri dari belakang.
Kekeliruan dalam hukum hakam agama sering berlaku dalam masyarakat, khususnya masyarakat hari ini yang kehidupannya semakin moden dan terdedah kepada cabaran globalisasi. Bagi menyelesaikan kekeliruan yang timbul, bantuan dan pandangan ulama sudah semestinya sangat diperlukan.
Terdapat beberapa kekeliruan timbul terhadap ayat 223 daripada Surah al-Baqarah yang bermaksud: “Isteri-isterimu adalah (seperti) kebun tanaman kamu, maka datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai…”
Mereka yang tidak memahami agama dengan baik mengatakan bahawa harus mendatangi isteri walaupun pada duburnya. Ini salah faham terhadap maksud nas di atas.
Walaupun terdapat sebahagian pandangan yang agak ganjil dalam membenarkan perbuatan ini seperti hujah yang menyandarkan perbuatan ini, namun khilaf atau pandangan ini ditolak majoriti ulama. Ini kerana terdapat banyak huraian daripada hadis Rasulullah SAW, pendapat ahli tafsir terdahulu dan semasa.
Kita cuba merungkai beberapa pandangan ulama yang menceritakan sebab diturunkan ayat di dalam 223 di dalam surah al-Baqarah ini.
Pertama: Pendapat Mujahid yang mengatakan ia disebabkan orang Yahudi menjauhi wanita ketika datang haid serta mendatangi wanita pada dubur ketika datangnya haid. Bahkan orang Yahudi menganggap menyentuh wanita ketika haid adalah najis. Oleh itu mereka mengasingkan mereka daripada makan, minum dan tidur bersama. Manakala orang Nasrani pula tidak mengambil berat tentang haid. Sehingga mereka tidak membezakan di antara waktu haid atau tidak. Rujuk Tafsir al-Munir Wahbah al-Zuhaily.
Kedua: Pandangan dari Jabir bin Abdillah yang menceritakan bahawa orang Yahudi beranggapan apabila seseorang lelaki mendatangi isteri (pada farajnya) dari arah belakang, maka bayi yang bakal dilahirkan akan menjadi juling matanya. Lalu turunlah ayat ini. Pendapat beliau ini dinukil daripada Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran karangan Imam al-Qurtubi.
Ketiga: Ibn Abbas mengatakan bahawa ayat ini diturunkan disebabkan sebilangan golongan Ansar yang mengikuti pandangan orang Yahudi bahawa anak akan menjadi juling jika suami mendatangi (faraj) isteri dari arah belakang.
Mereka terpengaruh kerana beranggapan bahawa orang Yahudi itu ahli kitab yang memiliki kelebihan ilmu berbanding mereka. Disebabkan itu, berlaku kes apabila sahabat Nabi SAW dari kelompok Quraisy Makkah yang berhijrah ke Madinah berkahwin dengan wanita Ansar. Apabila ia ingin melakukan persetubuhan menurut cara budaya orang Quraisy iaitu daripada hadapan, belakang dan berbaring, maka wanita Ansar itu menolak dan berkata: “Kami pada kebiasaannya bersetubuh dari arah hadapan saja. Jika tidak jauhilah daripada aku. Akhirnya berita ini sampai kepada Rasulullah SAW, lalu turunlah ayat ini.
Ulama membuat kesimpulan bahawa, penafsiran ayat ini sebenarnya membenarkan suami bersetubuh bersama isteri dari arah mana saja yang dikehendaki. Tetapi semuanya mestilah dilakukan pada lubang faraj saja.
Disebabkan itulah Imam al-Alusi dalam tafsirnya Ruh al-Ma’ani mengatakan dengan ini dibolehkan mendatangi isteri dari arah mana sekalipun asalkan masih ke arah kemaluannya.
Al-Zamakhsyari seorang mufassir yang terkenal dengan kemahiran bahasa arabnya menyifatkan ia dibolehkan dengan sebab tempat tersebut (faraj) adalah saluran sebenar dalam melahirkan keturunan.
Kenyataan hukuman ini disokong banyak hadis Nabi SAW berkenaan pengharaman mendatangi isteri melalui arah belakang (dubur). Antaranya hadis riwayat al-Tirmizi bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang kamu melepaskan angin (terkentut) maka hendaklah berwuduk dan jangan mendatangi wanita pada dubur. Maka sesungguhnya Allah SWT tidak malu dengan perkara sebenarnya.”
Juga dalam hadis riwayat al-Tirmizi yang lain menyatakan bahawa: “Allah SWT tidak melihat kepada lelaki yang mendatangi lelaki atau perempuan pada dubur.” Malah sebahagian riwayat mengatakan perbuatan suami mendatangi isteri dari arah belakang (dubur) adalah perbuatan kufur dan tergolong dalam kategori ‘liwat kecil’ seperti yang disebut dalam riwayat al-Tabrani.
Tidak menjadi masalah bagi pasangan suami isteri yang melakukan hubungan seks dengan berbagai-bagai posisi atau teknik, tetapi ia mesti halakan zakarnya ke lubang faraj isterinya. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang bermaksud:
“Tidak kiralah dia berjimak dalam keadaan berdiri, duduk atau meniarap (suami tindih perempuan yang meniarap) selagi tempat masuk zakar adalah faraj.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Larangan ini bukanlah bererti Islam mengongkong umatnya menikmati naluri nafsu masing-masing. Namun Islamlah yang terlebih dulu menghalang manusia daripada terus tersalah haluan dalam menentukan tempat nafsu yang sebenar. Dubur itu bukanlah tempat untuk mencari kelazatan jimak.
Dubur adalah tempat keluarnya najis, sudah pasti ia akan memudaratkan. Sedangkan wanita dalam haid sekalipun dinyatakan kotor oleh al-Quran, inikan pula dubur.
Ada pula sebahagian orang yang bertanyakan, sekiranya memasukkan zakar ke dalam dubur isteri itu diharamkan, bagaimana pula sekiranya memasukkan sesuatu objek ke dalam dubur isteri. Sama ada menggunakan jari mahupun alat tertentu.
Perkara ini dijawab beberapa ulama, antaranya Imam al-Zahabi. Dalam sebuah hadis dinukilkan Imam Az-Zahabi dalam kitabnya Al-Kabair menjelaskan Allah SWT melaknat suami yang menyetubuhi isteri masing-masing di duburnya tidak di qubulnya. Jika memasukkan alat kelamin dilaknat oleh Allah dan berdosa, maka memasukkan jari ke dalam dubur adalah sesuatu yang haram dan tidak wajar juga.
Kesimpulannya di sini, jimak itu diharuskan melalui mana-mana arah sekalipun asalkan ia di qubul bukan di dubur. Ini menunjukkan kepada kita bahawa Islam mempertahankan hak wanita dalam menikmati hidup berkeluarga.









