Monthly Archives: April 2011
Islam Menggalakkan Umatnya Bekerja Kuat, Bukannya Mengemis
Pengangguran adalah satu wabak yang sangat merunsingkan semua pihak, baik pihak kerajaan mahupun rakyat. Bertambanhnya jumlah pengangguran mencerminkan situasi ekonomi sesebuah negara yang bermasalah. Isu pengangguran banyak difokuskan kepada golongan lepasan universiti tetapi tidak berkerjaya.
Islam mengajar umatnya untuk bekerja, tidak kira sama ada dengan bekerja sendiri atau makan gaji. Allah berfirman: Maka apabila telah didirikan solat, bertebaranlah di muka bumi dan carilah kurniaan Allah [al-Jumuah:10]. Ayat ini hadir selepas larangan berjual beli apabila azan solat Jumaat telah dilaungkan. Ayat di atas menunjukkan bagaimana Islam menseimbangkan di antara keperluan material dan rohani manusia. Umat yang berjaya bukanlah yang hanya duduk di masjid tanpa berusaha mencari rezeki, dan bukan juga manusia yang sibuk dengan urusan dunia sehingga tidak lagi mengenal masjid.
Terdapat banyak hadis yang menganjurkan untuk kita berusaha mencari rezeki dan menjauhi sifat mengemis. Antara hadisnya ialah:
Zubair bin Awwam radiallahu anhu berkata, Rasulullah bersabda: Sesungguhnya, jika seseorang di antara kamu membawa tali-talinya dan pergi ke bukit untuk mencari kayu api yang dipikul di belakangnya untuk dijual sehingga dia mampu memenuhi keperluannya, adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain, baik mereka memberi atau tidak [HR al-Bukhari: 1471].
Hadis di atas merupakan satu galakan untuk kita bekerja dan celaan kepada sifat meminta-minta daripada orang lain.
Diriwayatkan dari Samurah bin Jundub Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Minta-minta itu merupakan cakaran, yang seseorang mencakar wajahnya dengannya, kecuali jika seseorang meminta kepada penguasa, atau atas suatu hal atau perkara yang sangat perlu” Shahîh. At-Tirmidzi (no. 681), Abu Dawud (no. 1639),
Islam memudahkan insan yang dalam kesempitan. Antaranya dengan membolehkan kita meminta kepada pihak penguasa, jika kita dalam kefakiran. Penguasa adalah orang yang memegang baitul maal harta kaum Muslimin. Seseorang yang mengalami kesulitan, boleh meminta kepada penguasa karena penguasalah yang bertanggung jawab atas semuanya.
Namun begitu, ianya tetap terdapat batas-batas yang perlu diikuti. Tidak boleh bagi seseorang sering meminta-minta kepada penguasa. Hal ini berdasarkan hadits Hakim bin Hizaam Radhiyallahu ‘anhuma, ia berkata: Aku meminta kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, lantas beliau memberiku. Kemudian aku minta lagi, dan Rasulullah memberiku. Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Wahai Hakiim! Sesungguhnya harta itu indah dan manis. Barang siapa mengambilnya dengan berlapang hati, maka akan diberikan berkah padanya. Barang siapa mengambilnya dengan kerakusan (mengharap-harap harta), maka Allah tidak memberikan berkah kepadanya, dan perumpamaannya (orang yang meminta dengan mengharap-harap) bagaikan orang yang makan, tetapi ia tidak kenyang (karena tidak ada berkah padanya). Tangan yang di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang meminta)”.
Kemudian Hakîm berkata: “Wahai Rasulullah! Demi Dzat yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak menerima dan mengambil sesuatu pun sesudahmu hingga aku meninggal dunia”.
Ketika Abu Bakar Radhiyallahu ‘anhu menjadi khalifah, ia memanggil Hakîm Radhiyallahu ‘anhu untuk memberikan suatu bagian yang berhak ia terima. Namun, Hakîm tidak mau menerimanya, sebab ia telah berjanji kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Ketika ‘Umar menjadi khalifah, ia memanggil Hakîm untuk memberikan sesuatu namun ia juga tidak mau menerimanya. Kemudian ‘Umar bin al-Khaththab Radhiyallahu ‘anhu berkata di hadapan para sahabat: “Wahai kaum Muslimin! Aku saksikan kepada kalian tentang Hakîm bin Hizâm, aku menawarkan kepadanya haknya yang telah Allah berikan kepadanya melalui harta rampasan ini (fa’i), namun ia tidak mau menerimanya. Dan Hakîm Radhiyallahu ‘anhu tidak mau menerima suatu apa pun dari seorang pun setelah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam sampai ia meninggal dunia”. Shahîh. Al-Bukhâri (no. 1472), Muslim (no. 1035),
Hadits ini menunjukkan tentang bolehnya meminta kepada penguasa. Akan tetapi tidak boleh sering, seperti kejadian di atas, yaitu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam menasihati Hakîm bin Hizâm. Hadits ini juga menerangkan tentang ta’affuf (memelihara diri dari meminta kepada manusia) itu lebih baik. Sebab, Hakîm bin Hizâm Radhiyallahu ‘anhu pada waktu itu tidak mau meminta dan tidak mau menerima.
Diriwayatkan dari Sahabat Qabishah bin Mukhariq al-Hilali Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Wahai Qabiishah! Sesungguhnya meminta-minta itu tidak halal, kecuali bagi salah satu dari tiga orang: (1) seseorang yang menanggung hutang orang lain, ia boleh meminta-minta sampai ia melunasinya, kemudian berhenti, (2) seseorang yang ditimpa musibah yang menghabiskan hartanya, ia boleh meminta-minta sampai ia mendapatkan sandaran hidup, dan (3) seseorang yang ditimpa kesengsaraan hidup sehingga ada tiga orang yang berakal dari kaumnya mengatakan, ‘Si fulan telah ditimpa kesengsaraan hidup,’ ia boleh meminta-minta sampai mendapatkan sandaran hidup. Meminta-minta selain untuk ketiga hal itu, wahai Qabishah! Adalah haram, dan orang yang memakannya adalah memakan yang haram”. Shahîh. HR Muslim (no. 1044),
Mencari rezeki merupakan pekerjaan para rasul. Di dalam sejarah para Rasul, tidak terdapat rasul yang menganggur atau mengemis-ngemis. Namun mereka merupakan golongan yang berusaha keras mencari hasil di bumi.
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Nabi Daud tidak makan melainkan daripada hasil usahanya sendiri. [HR al-Bukhari: 2073].
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Nabi Zakaria Alaihissalam adalah seorang tukang kayu [HR Muslim: 2379].
Jika dirujuk kepada perbuatan mengemis ini, terdapat, terdapat banyak dalil yang mencela perbuatan mengemis.
Abdullah bin Umar Radiallahu ‘anhuma berkata, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:Seseorang sentiasa meminta-minta kepada orang lain sehingga dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan tidak ada sepotong daging pun di wajahnya [HR al-Bukhari : 1474 dan Muslim: 1040]
Hubsyi bin Junadah Radiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Sesiapa mengemis kepada orang lain tanpa keperluan, seolah-olah dia memakan bara api [Ibnu Khuzaimah: 2446].
Dalil-dalil di atas sudah cukup menjadi bukti bekerja adalah ajaran Islam, dan menganggur tanpa sebab yang munasabah adalah perkara yang dicela. Masalah yang menimpa generasi muda lepasan universiti ialah sifat terlalu memilih-milih kerja. Menanti kerja yang hanya sesuai dengan kelulusan sahaja. Perasaan malu menebal jika dilihat bekerja sebagai seorang kerani biasa, atau guru sekolah rendah agama. Berbulan-bulan sanggup ‘menanam anggur’ di rumah.
Ini satu fenomena yang amat menyedihkan. Usahalah mencari rezeki. Wang yang datang daripada hasil bekerja di stesen minyak lebih mulia daripada hasil meminta-minta kepada ibu bapa kita.
Tambahlah pengalaman dengan bekerja apa sahaja selagi mana ia halal. Apatah lagi di zaman sekarang, kebanyakan jawatan yang ditawarkan menetapkan agar calonnya mempunyai pengalaman. Jika terlalu memilih pekerjaan dan jawatan, bagaimana mahu mendapat pengalaman tersebut?
Bumi Allah terlalu luas, gunakan ilmu yang ada. Ramai pelajar universiti yang mendapat pendapatan tambahan dengan mengajar tuisyen di rumah mahupun di pusat-pusat tuisyen, mengajar al-Quran di surau mahupun di rumah, menjual buku, kad tambah nilai telefon bimbit dan sebagainya.
Tiada alasan lagi untuk menganggur. Gunakan skil yang ada. Menulis, mengambil gambar, mereka laman web, semua itu skil yang mampu menjana pendapatan jika digunakan dengan cara yang betul.
Renunglah kata-kata tersebut:
‘Umar radiallaahu ‘anhu berkata: Wahai para pembaca Al-Quran, berlumba-lumbalah kalian dalam kebaikan, carilah kurniaan, dan janganlah kalian menjadi beban bagi manusia.
Sa’id bin al-Musayyib rahimahullaah pula berkata: Tidak ada kebaikan pada orang yang tidak mengumpulkan harta (mencari nafkah), yang dengan harta itu dia mampu menjaga kehormatan dirinya dan melaksanakan amanahnya.” [Ibnu ‘Abdil Barr dalam Jami’ Bayaanil ‘Ilmi wa Fadhlihi: 1330].
Namun seandainya ianya selayaknya memerlukan bantuan, maka tangan yang memberi itu lebih baik diringankan. Jangan biarkan harta umat terus berada dalam lingkungan kelompok tertentu.
Semoga dengan perubahan sikap umat Islam yang ingin berubah menjernihkan lagi gambaran imej umat Islam di mata dunia. Janganlah dengan sikap mengemis itu mendatangkan fitnah kepada masyarakat seolah-olah Islam jauh dari petunjuk berusaha keras dalam pencarian rezeki.
Bukan Kerja Kita Promosi Keaiban
Perundangan Islam diturunkan bukan untuk menghukum. Namun untuk mendidik. Disebabkan itulah Islam amat menitik beratkan perlindungan terhadap insan yang menemui pintu taubat. Dalam Islam, keaiban manusia bukanlah dianggap sesuatu yang perlu diketengahkan. Malah ianya ditutup serapat yang mungkin kerana itulah sifat rahmat Allah SWT. Setiap orang mempunyai keaiban dan tidak ada seorang pun yang terlepas dari melakukan kesalahan.
Firman Allah SWT yang bermaksud : Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui.” (Surah An-Nuur: 19)
Ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW :
Rasulullah SAW bersabda, “Setiap daripada kamu adalah orang yang berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah orang yang bertaubat.”( HR Ahmad)
Setiap manusia tidak terlepas dari keaiban. Samada diketahui oleh orang lain mahupun menjadi rahsia diri sendiri. Namun, Allah itu berkuasa menutup keaiban hamba-hambaNya. Ia juga berkuasa membukanya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat. (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Segala maksiat manusia disekeliling kita perlulah dicegah. Kita membenci segala perbuatan maksiat. Namun kita tidak membenci orang yang melakukan maksiat tersebut. Apatah lagi melaknat orang tersebut. Ini kerana Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, dalam menghadapi sesuatu kemungkaran membezakan antara perbuatan dan si pembuat. Diterangkan bahawa perbuatan tersebut adalah salah supaya pembuatnya berhenti dan ia tidak diikuti oleh orang ramai. Ada pun terhadap pembuatnya, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah menangguhkan sebarang hukuman sehingga diperhatikan tiga syarat berikut:
Ditegakkan hujah kepadanya, iaitu mengemukakan dalil dan hujah bahawa apa yang dilakukan adalah satu kemungkaran. Kemudian dibersihkan salah fahamnya, iaitu dalil dan hujah tersebut diberi dalam bentuk penerangan yang jelas bagi membersihkan apa-apa kekeliruan yang mungkin dihadapi olehnya apabila melakukan kemungkaran tersebut. Akhirnya Islam mempertimbangkan sama ada dia melakukan kemungkaran tersebut dalam suasana sedar dan rela, atau dalam suasana terpaksa, tersilap atau tidak mampu untuk mengelaknya.
Demikian sikap hati-hati Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dalam membezakan antara perbuatan dan pembuat.
‘Umar al-Khaththab RA menerangkan bahawa pada zaman Rasulullah SAW terdapat seorang lelaki yang bernama ‘Abd Allah. Dia lazim (berjenaka) sehingga membuat Rasulullah SAW tertawa. Nabi SAW pernah merotannya (sebagai hukum hudud) kerana kesalahan minum arak.
Pada satu hari dia dibawa menghadap baginda atas kesalahan yang sama, lalu dikenakan hukuman rotan. Melihat yang sedemikian berkata seorang lelaki: “Ya Allah! Laknatlah dia! Betapa banyak kali dia telah dibawa menghadap Rasulullah atas kesalahan yang sama!” Namun Nabi SAW menjawab:
Jangan melaknatnya! Demi Allah! Aku tidak tahu bila ternyata dia mengasihi Allah dan Rasul-Nya. (Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6780 (Kitab al-Hudud, Bab berkenaan membenci laknat kepada orang yang minum).
Berlaku beberapa kes dalam zaman Nabi SAW yang menunjukkan bahawa Islam bukan semata-mata untuk menghukum. Namun ia juga sebagai produk dalam mendidik jiwa. Manusia yang paling arif berkenaan hukum Allah SWT iaitu Nabi SAW. Namun terdapat kisah bagaimana proses berlakunya pelaksanaan hukum hudud yang melalui proses menutup keaiban terlebih dahulu.
Hadits dari Nu’aim bin Hazzal : “Ma’iz bin Malik adalah seorang yatim dibawah asuhan bapakku. Lalu dia berzina dengan seorang budak dari suku itu. Maka bapakku berkata kepadanya, “Pergilah kepada Rasulullah SAW, lalu beritahulah kepada baginda apa yang telah engkau lakukan. Semoga beliau memohonkan ampun untukmu”.Bapakku menghendaki hal itu karena berharap Ma’iz mendapat penyelesaian.

Maka Ma’iz mendatangi Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah berzina. Maka tegakkanlah kitab Allah atasku”. Lalu baginda Nabi SAW berpaling darinya. Kemudian Ma’iz mengulangi dan berkata, “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah berzina. Maka tegakkanlah kitab Allah atasku”. Maka baginda berpaling darinya. Kemudian Ma’iz mengulangi dan berkata, “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah berzina. Maka tegakkanlah kitab Allah atasku”. Sampai dia mengulanginya empat kali.
Rasulullah SAW bersabda, “Engkau telah mengatakannya empat kali. Lalu dengan siapa ?. Dia menjawab, “Dengan si Fulanah”. Lalu beliau bersabda, “Apakah engkau berbaring dengannya?”. Dia menjawab, “Ya”. Lalu beliau bersabda, “apakah engkau menyentuh kulitnya?”. Dia menjawab, “Ya”. Lalu beliau bersabda, “Apakah engkau bersetubuh dengannya?”. Dia menjawab, “Ya”. Maka Rasulullah SAW memerintahkan untuk
merejamnya. Kemudian dia dibawa keluar ke Harrah (Nama tempat di luar kota Madinah). Tatkala dia direjam, lalu merasakan lemparan batu. Dia berkeluh kesah, lalu dia keluar dan melarikan diri. Maka Abdullah bin Unais mengekorinya. Sedangkan sahabat-sahabatnya yang lain telah lelah. Kemudian Abdullah mengambil tulang betis unta, lalu melemparkannya, sehingga dia membunuhnya. Lalu dia mendatangi Rasulullah SAW dan menceritakannya kepada baginda. Maka beliau bersabda, “Tidakkah kamu membiarkannya, kemungkinan dia bertaubat, lalu Allah menerima taubatnya!” (kisah lengkap pada Sahih Muslim no.4206)
Menurut Syeikh Islam Ibn Taimiyyah, Nabi SAW sebenarnya sedang berusaha agar hukuman rejam ke atas Ma’iz itu tidak berlaku. (Majmu Fatawa 16/31) Ini menunjukkan kepada kita bahawa banyak ruang yang boleh ditutup keaiban tersebut, maka hendaklah kita menutupnya. Disebabkan kita sendiri yang membukanya, maka berlakulah pengadilan Allah SWT terhadap hambaNya.
Sabda Rasulullah SAW : Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah. sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla. (Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 dan beliau berkata: “Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya.” Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.)
Maksiat itu bukanlah suatu yang perlu dipromosikan. Ini kerana jika ianya sering dicanang merata maka ianya menjadi suatu kebiasaan. Maksiat itu ada bezanya. Ada maksiat secara tertutup dan ada juga maksiat secara terbuka. Maksiat secara tertutup perlulah ditutup serapatnya. Namun maksiat secara terbuka perlulah digerakkan tindakan dalam mencegahnya. Kita bimbang apabila maksiat itu dianggap biasa, maka ianya sebenarnya sedang memanggil azab Allah. Maksiat secara terbuka adalah satu dosa purba dahulu kala yang sudah dimodenkan.
Kisah kehancuran kaum Nabi Lut AS dirakamkan di dalam surah al-Ankabut ayat 29 maksudnya : Adakah patut bagi kamu mendatangi lelaki ( homoseksual) dan menyamun di jalan raya dan kamu membuat kemungkaran di tempat-tempat pertemuan kamu. Maka tidaklah ada jawapan kaumnya melainkan bahawa mereka berkata : Datanglah kepada kami azab Allah itu, jika sungguh engkau dari orang-orang yang benar.
Al-Isfahani di dalam kitab al-Mufradat fi Gharib al-Quran menceritakan bahawa maksud perkataan ‘naadiy’ dalam ayat ini adalah tempat manusia berkumpul. Iaitu mereka kaum Nabi Luth melakukan maksiat di tempat secara terbuka.
Manakala Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya mengatakan bahawa : “Kaum Luth melakukan maksiat dan berbicara sesuatu yang tidak wajar di tempat pertemuan mereka yang mana mereka berkumpul disitu dan langsung tidak mengingkari perbuatan mungkar antara satu sama lain.
Kisah Nabi Luth ini menggambarkan kepada kita, sekiranya suatu maksiat itu dianggap ‘biasa’ maka ianya sama seperti kita mencabar Allah SWT untuk menurunkan azabnya.
Kesimpulannya disini, maksiat secara terangan dan terbuka perlu kita cegah dan bukan dipromosikan. Walaupun terdapat sebahagian pendapat yang membenarkan kita mengumpat si pelaku maksiat secara terbuka, namun ianya masih atas dasar bukan menghukum. Tetapi mencari titik proses didikan. Perbuatan maksiat perlu dibezakan dengan si pembuat maksiat. Namun sekiranya maksiat itu suatu yang tersembunyi maka menutupnya adalah lebih baik. Kepada pelaku maksiat, sekiranya terdapat sejarah kisah dosa lama sewaktu muda, maka kepada Allah kita memohon keampunan. Dan sembunyikan kisah itu dari habuan telinga manusia.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA ia berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Seluruh umatku akan diampuni dosa-dosa kecuali orang-orang yang terang-terangan (berbuat dosa). Di antara orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang yang pada waktu malam berbuat dosa, kemudian di waktu pagi ia menceritakan kepada manusia dosa yang dia lakukan semalam, padahal Allah telah menutupi aibnya. Ia berkata, “Wahai fulan, semalam aku berbuat ini dan itu”. Sebenarnya pada waktu malam Tuhannya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi justru pagi harinya ia membuka aibnya sendiri yang telah ditutupi oleh Allah.” (Muttafaq ‘alaih HR Bukhari dan Muslim).








