Monthly Archives: August 2011
Penting jaga hati orang lain berbanding ibadat sunat
Oleh
Muhammad Asyraf
BHOnline Ruangan Agama (2011/08/30)
Individu berasakan tak singgung perasaan mana-mana pihak boleh teruskan puasa enam hari
AIDILFITRI perayaan yang dianjurkan Baginda SAW sebagai simbol kemenangan kepada umat kerana berjaya menahan nafsu sepanjang sebulan Ramadan. Nilai kegembiraan itu sangat besar sehinggakan diharamkan bagi umat Islam untuk berpuasa pada hari berkenaan.
Namun, kesinambungan taqwa yang diperoleh sepanjang Ramadan perlu diteruskan dengan anjuran untuk berpuasa enam hari berikutnya pada Syawal sehinggakan nilai tambah bagi puasa itu menyamai ganjaran berpuasa selama setahun.
Walau bagaimanapun, asas ilmu pengetahuan dalam sesuatu ibadah itu perlu supaya kita bijak beramal mengikut tuntutan sebenar Nabi SAW.
Secara tradisinya, sambutan Aidilfitri di Malaysia disambut selama sebulan. Kemeriahan penganjuran rumah terbuka sedikit sebanyak mempengaruhi amalan berpuasa sunat Syawal hingga ada yang keliru antara keperluan menerima undangan atau meneruskan amalan berpuasa.
Suasana sambutan yang masih kuat pada hari raya kedua, ketiga dan berikutnya membuatkan sebahagian masyarakat memilih untuk berpuasa pada Syawal kedua secara berterusan selama enam hari sukar untuk diamalkan.
Menurut ulama, pahala puasa enam hari Syawal akan diperoleh sama ada ia dilakukan secara terpisah atau berturut-turut tetapi keutamaan diberikan kepada orang yang bersegera melakukannya.
Sunat latih kanak-kanak puasa
Oleh
Muhammad Asyraf
BH Online – Ruangan Agama (2011/08/02)
Perintah tunai ibadah Ramadan sama amalan solat
RAMADAN ialah sesi persekolahan dalam menghasilkan jiwa yang bertakwa. Ia juga satu kesempatan yang telah diberikan oleh Allah kepada ibu bapa dalam mendidik anak menjadi insan yang soleh dan solehah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman, selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada neraka, sedangkan bahan bakarnya ialah manusia dan batu. Neraka itu dijaga oleh malaikat yang kasar dan keras. Mereka sama sekali tidak pernah durhaka pada Allah dan melaksanakan apa saja yang diperintahkan pada mereka.” – Surah Al-Tahrim (66), ayat 6.
Banyak amalan yang boleh dipraktikkan mengikut petunjuk Rasul dalam mendidik anak pada Ramadan. Antara yang menjadi amalan ialah dengan mendidik anak yang kecil berpuasa. Hukum berpuasa bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz (iaitu tidak tahu membezakan di antara yang baik dan buruk) ialah tidak sah puasanya. Manakala kanak-kanak yang sudah mumayyiz dikira sah puasa mereka apabila ia berniat puasa pada malam hari, walaupun puasa Ramadan itu tidak diwajibkan ke atasnya.
Ulama sepakat mengatakan bahawa hukum berpuasa pada Ramadan adalah wajib bagi setiap orang Islam yang berakal dan baligh. Dengan demikian, kanak-kanak pada asalnya tidak wajib berpuasa kerana mereka belum baligh. (Abd Rahman al-Jaziri, al-Fiqh ‘ala Mazhib al-arba’ah)








