Pendidikan Al-Quran kepada Remaja pada Musim Cuti Persekolahan

al-quran-dan-remaja

Oleh
Muhammad Asyraf

Remaja perlu manfaatkan cuti sekolah dengan mendalami al-Quran, perbaiki bacaan dan seumpamanya

Apabila masuknya musim cuti persekolahan, ibubapa dan para remaja akan memikirkan aktiviti-aktiviti yang bakal dilakukan bagi memenuhi waktu terluang. Pelbagai perancangan dan tentatif diaturkan bagi mengelakkan para remaja meluangkan masa dengan perkara-perkara yang kurang berfaedah di sampng mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam aktiviti sosial yang boleh merosakkan moral dan juga akhlak. Antara aktiviti yang dilihat mampu memberikan faedah kepada kehidupan dan juga jiwa para remaja pada musim cuti persekolahan ini adalah dengan menghadiri kelas-kelas pengajian al-Quran.

               Antara faedah yang paling utama dengan menghantar para remaja  ke kelas-kelas pengajian al-Quran ialah diharapkan ianya mampu memelihara diri mereka daripada terjerumus ke dalam perkara-perkara yang tidak baik dan mampu mengundang dosa dalam kehidupan mereka. Apabila mereka disibukkan dengan membaca ayat-ayat Allah swt, maka secara tidak langsung akan menyebabkan mereka terpelihara daripada penyakit-penyakit hati disebabkan kekosongan daripada mengingati Allah swt.

Sesungguhnya al-Quran itu adalah penyembuh kepada segala penyakit termasuklah penyakit yang berkaitan dengan emosi dan tingkah laku yang negatif seperti sombong, dengki, menderhakai kedua ibubapa, suka berbohong dan sebagainya. Allah swt telah berfirman dalam Surah al-Isra’ ayat 82: “Sesungguhnya Kami menurunkan daripada al-Quran itu Syifa’ (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan tidaklah ia menambahkan sesuatu kepada orang-orang yang zalim melainkan kerugian (kepada mereka)”. Al-Hafiz Ibnu Kathir mentafsirkan ayat ini dengan kata beliau: “Melalui al-Quran ianya mampu menghilangkan segala penyakit hati seperti syak wasangka, syirik, nifaq (munafiq) dan tidak tetap pendirian. Sesungguhnya al-Quran mampu mengubati segala penyakit tersebut dan ianya juga merupakan rahmat yang mancetuskan perasaan iman, hikmah dan sukakan kepada kebaikan. Sesungguhnya perkara ini tidak akan berlaku kecuali dalam jiwa-jiwa orang yang beriman”.

Antara kelebihan membaca al-Quran adalah sebagai syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak. Sabda Nabi saw : “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari akhirat sebagai pemberi syafaat kepada mereka yang membacanya”(HR Imam Muslim). Syeikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin menyatakan bahawa syafaat yang akan diperolehi oleh pambacanya adalah dalam bentuk pahala yang membantunya ketika dihisab di hadapan Allah swt.

Diriwayatkan oleh Ibnu Umar ra, Nabi saw telah menggesa para sahabat dan seluruh umat Islam untuk berlumba-lumba dalam mempertingkatkan amalan pembacaan al-Quran sehingga disifatkan bahawa tiada perasaan hasad yang dibenarkan dalam Islam kecuali dalam dua perkara iaitu hasad kepada golongan yang selalu membaca al-Quran dan juga kepada mereka yang selalu menginfaqkan harta benda yang telah diberikan oleh Allah swt. Sabda Nabi saw : “Tiada hasad kecuali kepada dua golongan : Lelaki yang Allah berikannya (kemampuan membaca) al-Quran dan dia menggunakan masa pada waktu siang dan malam untuk membacanya; dan juga lelaki yang diberikan harta oleh Allah swt dan dia menginfaqkannya pada siang dan malam hari” (Hadith muttafaqun alaih). Hasad yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah sifat cemburu tanpa berasa benci dan tidak pula mengharapkan sifat-sifat yang mulia ini hilang daripada pelakunya.

Sebagai ibubapa perlulah kita sedari bahawa al-Quran merupakan binaan utama dalam rumah-rumah kita. al-Quran yang dimaksudkan di sini bukanlah mushaf-mushaf yang tebal dan indah tetapi bacaan al-Quran yang menghiasi rumah-rumah tersebut. Sabda Nabi saw : ” Sesungguhnya rumah yang tiada di dalamnya bacaan al-Quran ibarat rumah yang runtuh” (HR al-Tirmizi dengan darjat hasan sahih). Daripada hadith ini jelas menunjukkan bahawa tanpa bacaan al-Quran rumah yang dibina bukanlah syurga bagi kita sekeluarga tetapi mungkin diibaratkan sebagai rumah yang telah roboh atau kemungkinan juga seperti tanah perkuburan yang sunyi sepi. Sabda Nabi saw : “Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu seperti tanah perkuburan” (HR Abu Daud). Tanah perkuburan yang dimaksudkan di sini adalah rumah-rumah yang ‘kosong’ dengan ibadah solat dan juga ibadah-ibadah yang lain seperti bacaan al-Quran.

Jika kita melihat kepada kehidupan para salaf dan ulama-ulama terdahulu, maka kita akan dapati kecemerlangan yang dikecapi oleh mereka adalah bermula daripada sikap atau prinsip mereka yang mengutamakan pendidikan al-Quran sejak kecil lagi. Al-Quran itu bukan sekadar dibaca malah direnungkan makna-maknanya lantas dikeluarkan hukum-hukum melalui kefahaman ayat-ayat al-Quran tersebut. Sesungguhnya syariat Islam perlu bersumberkan kepada ayat-ayat al-Quran dan Sunnah Nabi saw. Oleh demikian, kita dapat melihat kehebatan sarjana-sarjana Islam terdahulu dalam pelbagai cabang ilmu Islam disebabkan ketekunan mereka dalam membaca dan seterusnya mengkaji ayat-ayat Allah swt.

Boleh dikatakan kebanyakkan ulamak tersohor dalam sejarah tamadun Islam ialah mereka yang mendapat pendidikan awal dengan mempelajari al-Quran. Malah kebanyakkan mereka sudah menghafal al-Quran secara keseluruhan ketika dalam usia kanak-kanak mahupun awal usia remaja. Contohnya Imam al-Syafie telah menghafal al-Quran secara keseluruhannya ketika berumur 9 tahun. Disebabkan pendidikan awal al-Quran yang mantap maka beliau telah mampu mengeluarkan fatwa dalam pelbagai permasalahan hukum fiqh ketika berumur 15 tahun. Imam Ahmad bin Hanbal pula telah menghafal al-Quran secara keseluruhannya ketika berumur 14 tahun dan beliau terkenal sebagai ulamak agung yang mempertahankan kesucian al-Quran dengan menyatakan bahawa al-Quran itu bukanlah makhluk tetapi ianya adalah kalam Allah swt. Lantaran itu beliau dipenjara dan diseksa pada zaman pemerintahan al-Ma’mun di atas sebab prinsipnya itu.

Al-Quran bukan sahaja dibaca dan dihafal oleh ulamak-ulamak Islam yang terkenal dengan kehebatan ilmu agama mereka sahaja tetapi turut dipelajari oleh para sarjana Islam yang terkenal kehebatan mereka dalam bidang-bidang lain juga. Ibnu Sina merupakan tokoh agung dalam dunia kedoktoran dan pengarang kepada karya ulung perubatan iaitu ‘The Canon of Medicine’ telah menghafal al-Quran sebelum umurnya mencecah 10 tahun.  Begitu jugalah keadaannya dengan kehidupan tokoh-tokoh ilmuan Islam yang lain seperti Ibnu Khaldun (ekonomi dan kemasyarakatan), Jabir bin Hayyan (kimia), al-Farabi (muzik), Ibnu Firnas (fizik) dan lain-lain lagi. Kehidupan mereka sebelum mendalami sesuatu kepakaran itu adalah dimulai dengan pendidikan al-Quran pada usia kanak-kanak dan remaja yang seterusnya  telah memotivasikan mereka untuk terus menuntut ilmu-ilmu yang lain di samping mengawal kehidupan mereka daripada tergelincir daripada prinsip ketuhanan.

Justeru, antara pendekatan yang mampu ibubapa lakukan dalam memastikan kehidupan anak-anak mereka terkawal adalah dengan memberikan pendidikan al-Quran yang sempurna kepada anak-anak mereka. Pendidikan al-Quran bukan sahaja boleh mengawal kanak-kanak dan remaja daripada anasir-anasir yang buruk, tetapi mampu menjadi pencetus kepada pemikiran yang intelek dalam kehidupan mereka. Semoga dengan pendikan al-Quran yang disediakan mampu menghasilkan golongan cerdik pandai atau disebut ‘ulul al-bab’ yang bukan sahaja unggul dalam ilmu keduniaan malah mereka lebih mengenali Pencipta mereka dan tunduk patuh atas segala suruhan dan larangan-Nya. Wallahu a’lam.

One Response to Pendidikan Al-Quran kepada Remaja pada Musim Cuti Persekolahan

  1. Selain drp pendidikan al-quran,remaja wanita perlu digalakkan membuat kemahiran tangan seperti kraf drp kain felt.Bagi saya ia lebih menyahut ajaran islam dan bersesuaian dgn kelembutan wanita.Sekarang ini remaja wanita lebih suka dengan aktiviti lasak,ianya tidak salah tetapi bagi saya kemahiran kraf lagi perlu dan utama bagi remaja wanita.Saya di jauhari store & Trading merancang aktiviti kedai dengan mengadakan bengkel membuat kraf dengan kain felt.Insyaallah ia akan bermula pada januari 2013.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>