Membuktikan Cinta Sebenar Kepada Rasulullah

La tarfa'uu

Firman Allah swt : “Sesungguhnya pada diri Rasulallah terdapatnya contoh ikutan yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan (keredhaan) daripada Allah swt dan kebaikan pada hari akhirat”. (Surah al-Ahzab:21). Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan tentang keindahan akhlak Nabi saw. Malahan setiap muslim dituntut untuk mengikuti segala sifat dan akhlak mulia yang terdapat pada peribadi Baginda saw.

Antara faktor utama Nabi saw diutuskan adalah untuk menunjukkan akhlak yang mulia kepada sekalian manusia untuk dijadikan contoh utama. Sabda Nabi saw : “Sesungguhnya aku diutuskan dengan tujuan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”. (Direkodkan oleh Ibnu ‘Abd al-Bar dan dinilai sahih oleh al-Albaniy).

Rasulullah saw

Sesungguhnya rasa cinta kepada Allah swt tidak lengkap jika kita tidak menjadikan Nabi Muhammad saw sebagai ikutan utama dalam kehidupan. Allah swt telah berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad) jika kamu semua mencintai Allah maka ikutlah aku (Nabi Muhammad), nescaya Allah swt akan mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. (Surah Ali Imran :31).

Inilah syarat utama yang Allah swt letakkan kepada kita dalam mencintaiNya iaitu perlulah mengikut arahan dan teladan yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw.Jika kita tidak mengambil Rasulallah saw sebagai ikutan maka cacatlah cinta kita kepada Allah swt. Dalam ayat yang lain Allah swt juga telah berfirman: “Dan apa sahaja yang dibawa oleh Rasul (Muhammad) maka ambillah ia dan apa sahaja yang dia larang maka hindarilah ia”. (Surah al-Hasyr: 7).

Sebagai umat Nabi Muhammad saw kita mestilah mencintai Baginda saw melebihi insan-insan lain yang kita kasihi. Nabi saw telah bersabda: “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehinggalah aku menjadi insan yang paling dia sayangi melebihi ayah, anak dan juga seluruh manusia”. (Direkodkan oleh Imam al-Bukhari).  Maka dapatlah kita fahami bahawa Nabi saw perlulah menjadi manusia yang paling kita cintai melebihi insan-insan lain. Kecintaan kepada Nabi saw juga merupakan salah satu tanda seseorang itu beriman kepada Allah dan RasulNya.

Kita perlulah mengetahui kaedah dan cara untuk membuktikan kecintaan dan kesetiaan kita kepada Nabi saw walaupun Baginda saw telah tiada bersama kita. Berikut merupakan beberapa cara yang boleh kita lakukan untuk membuktikan rasa cinta kita kepada Rasulallah saw.

1)   Mendahulukan segala urusan Allah dan Rasulnya ke atas setiap urusan kita.

Firman Allah swt:  “Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mendahului sesuatu perkara itu ke atas urusan Allah dan RasulNya dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah itu maha mendengar lagi maha mengetahui”. (Surah al-Hujurat : 1). Daripada ayat ini dapatlah kita fahami bahawa sebagai seorang yang mengaku beriman kepada Allah swt kita dilarang mendahulukan pandangan dan urusan kita ke atas ketetapan dan urusan Allah swt dan RasulNya. al-Hafiz Ibnu Kathir telah menukilkan pandangan Ibnu Abbas ra tentang ayat ini dengan kata beliau : “Janganlah kamu semua mendahului apa yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan Sunnah”.

2)   Menjaga adab dengan Baginda.

Antara adab kepada Baginda adalah dengan memperbanyakkan selawat dan salam kepada Baginda. Firman Allah swt: “Sesungguhnya Allah swt dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi , maka wahai orang-orang yang beriman berselawat dan salamlah kamu kepadanya “(Surah al-Ahzab: 56).

Selain itu kita disuruh untuk menghormati Nabi saw dengan menyebut gelaran mulia kepada Baginda seperti Rasulullah, Nabiyullah, Habibullah dan lain-lain lagi. Firman Allah swt : ” Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu” (Surah al-Nur:63).

Adab lain yang perlu diambil perhatian adalah memelihara hadith-hadith Nabi dengan mempelajarinya dan juga menolak sebarang pendustaan terhadap Baginda saw. Dalam hal ini Rasulallah saw telah bersabda: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja maka dia telah menempah tempatnya di dalam api neraka”. (Hadith muttafaqun ‘alaih).

Antara adab lain ialah memelihara percakapan dan tidak meninggikan suara melebihi suara Rasulallah saw. Firman Allah swt: “Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menzahirkan suara sepertimana kamu menzahirkannya sesama kamu kerana hal tersebut mampu memadamkan amalan-amalan kamu sedangkan kamu tidak megetahuinya”. (Surah al-Hujurat : 2).

3)   Membenarkan sesuatu yang dituturkan oleh Nabi saw.

Sesungguhnya apa yang dituturkan oleh Rasulallah saw adalah merupakan suatu tuntutan yang perlu diikuti. Firman Allah swt dalam hal ini : “Tidaklah dia (Muhammad) itu bercakap dengan hawa nafsunya kecuali dengan apa yang telah diwahyukan kepadanya”.(Surah al-Najm: 3-4).  Daripada ayat ini jelaskan kepada kita bahawa setiap yang dinyatakan oleh Rasulallah saw itu perlulah kita percaya dengan sebenar-benarnya tanpa ada sebarang keraguan dalam hati.

Namun dalam membenarkan segala yang disebut oleh Nabi saw perlulah dilihat juga kepada sumber pengambilan perkhabaran tersebut kerana hadith-hadith Nabi saw kadang kala direka-reka oleh sesetengah manusia atas kepentingan tertentu. Jika direka-reka sesuatu perkhabaran tersebut maka perlulah ditolak dan tidak disebarkan kepada manusia kecuali untuk menerangkan kepalsuan perkhabaran tersebut.

4)   Mengikut cara hidup (sunnah) Nabi saw.

Sesungguhnya manusia akan berada di dalam kesesatan jika mereka jauh dengan panduan al-Quran dan tidak menghiraukan arahan Rasulallah saw.  Sabda Nabi saw: “Sesiapa yang hidup selepasku nescaya akan melihat perselisihan yang cukup banyak. Maka tetaplah kamu dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ al-Rasyidin yang telah diberikan petunjuk, dan genggamlah ia serta gigitlah ia dengan gigi-gigi geraham kamu. Maka jauhilah kamu perkara yang diada-adakan kerana ianya merupakan perkara bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu membawa kepada kesesatan”. (Hadith riwayat Abu Daud).

Kita perlu mengikut gaya hidup Nabi saw kerana Baginda merupakan contoh terbaik kepada seluruh manusia dalam pelbagai perkara. Bagindalah contoh terbaik untuk segala perkara termasuklah dalam hal-hal berkaitan dengan pentadbiran negara, urusan rumah tangga, pergaulan sesama masyarakat dan lain-lain lagi.

5)  Mempertahankan Nabi saw.

Seseorang muslim itu perlulah mempertahankan Rasulallah saw dalam segala perkara sama ada dengan nyawa mahupun harta benda. Dalam al-Quran Allah menjelaskan kesetiaan dan pengorbana golongan Muhajirin yang berhijrah bersama Nabi saw ke Madinah al-Munawwarah. Firman Allah swt : “(Pemberian itu hendaklah diperuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halaman mereka dan dirampas harta benda mereka (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia daripada Allah dan juga keredaanNya, serta menolong (agama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (iman dan amalnya).” (Surah al-Hasyr :8).

Mempertahankan Baginda saw bolehlah dikategorikan dalam tiga perkara:

a)   Sanggup berkorban untuk menegakkan dakwah Nabi (risalah Islam) walaupun dengan harta mahupun nyawa.

b)   Mempertahankan hadith-hadith Nabi saw dengan memeliharanya dan menentang segala bentuk fitnah kepada Baginda.

c)   Menyebarkan sunnah Baginda saw kepada masyarakat berdasarkan sabda Nabi saw: “Sampaikanlah tentangku walaupun satu ayat” (Direkodkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya).

Kesimpulannya kecintaan kepada Nabi saw perlulah hadir dalam setiap ketika dan bukannya pada waktu dan upacara yang tertentu sahaja. Kecintaan ini juga bukanlah hanya rasa yang hadir di dalam jiwa, namun yang lebih utama adalah bagaimanakah perasaan ini hadir dalam bentuk amalan-amalan seharian yang bertepatan dengan gaya hidup Baginda saw.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>