Amalan-amalan Kebaikan Di Luar Bulan Ramadhan.

Bulan Ramadhan bagi tahun 1434 Hijrah baru sahaja berlalu. Semoga proses didikan yang dilalui pada bulan Ramadhan yang lepas mampu menjadikan kita manusia yang lebih tinggi iman dan taqwanya di sisi Allah swt berbanding sebelumnya. Amat rugi jika proses didikan hati dan juga ruh yang dilalui itu tidak mampu memberi kesan ke dalam jiwa dan sanubari  manusia. Lebih merugikan amalan puasa dan qiyam Ramadhan yang telah ditunaikan hanya memperolehi rasa penat dan dahaga semata-mata tanpa medapat rahmat dan pengampunan daripada Allah swt. Sabda Nabi saw : “Barangkali orang yang berpuasa itu tidak memperolehi sesuatu pun daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga. Barangkali juga orang yang bangun solat malam itu tidak memperolehi sesuatu pun daripada qiyamnya kecuali rasa mengantuk.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad).

 

Antara tanda-tanda sesuatu amalan dalam bulan Ramadhan itu diterima oleh Allah swt dan mendapat keberkatan-Nya ialah apabila amalan kebaikan tersebut masih berterusan dan dilaksanakan di luar daripada bulan Ramadhan. Adalah sesuatu yang menyedihkan apabila seseorang hamba Allah yang telah melalui didikan dalam bulan Ramadhan yang lalu tidak lagi meneruskan kerancakan amal ibadahnya di bulan-bulan lain. Sesungguhnya konsep perhambaan kepada Allah swt perlulah dilakukan secara konsisten dan juga berterusan tanpa terikat mengikut musim-musim tertentu sahaja. Janganlah seseorang manusia dianggap hamba Allah swt hanya pada bulan Ramadhan sahaja tetapi jadilah hamba Allah swt pada setiap masa dan ketika.

Pada bulan Ramadhan kita diwajibkan untuk berpuasa. Di luar bulan Ramadhan sewajarnya ibadah puasa ini perlulah terus dilaksanakan iaitu dengan melakukan puasa-puasa sunat. Bagi mereka yang mengharapkan rahmat dan ganjaran daripada Allah swt maka ibadah puasa sunat tidak boleh dipandang remeh. Antara puasa sunat yang besar nilainya bagi seseorang muslim ialah amalan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Dalam hal ini Nabi saw telah menerangkan ganjaranya dengan sabda Baginda: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal maka ganjaran pahalanya sama seperti puasa selama setahun.”  (Hadith Riwayat Imam Muslim).

Sepanjang bulan Ramadhan yang lepas umat Islam telah menghidupkan malam-malamnya dengan ibadah solat sunat terawikh dan solat-solat sunat yang lain. Setelah keluar daripada bulan Ramadhan seseorang muslim itu perlu meneruskan serta memperbanyakkan ibadah-ibadah solat sunat tanpa mengabaikan ibadah solat-solat fardhu. Antara solat sunat yang dituntut ialah solat sunat tahajjdud iaitu solat pada tengah malam.

Sesungguhnya qiyamullail yang dilaksanakan secara berterusan mampu melatih jiwa seseorang muslim itu supaya lebih kental dan sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah. Malah Nabi saw tidak pernah meninggalkan ibadah solat malam secara sengaja. Nabi saw akan menghidupkan malam dengan ibadah solat tanpa mengira musim mahupun bulan yang tertentu. Firman Allah swt: “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah kamu pada waktu malam kecuali sedikit daripadanya. (Atau) separuh malam mahupun kurang sedikit daripadanya.” (Surah al-Muzzammil: 1-3).

Kesabaran Nabi saw dalam melakukan ibadah solat sunat pada waktu malam ini jelas terserlah walaupun Baginda saw merupakan manusia yang maksum iaitu yang terlindung daripada dosa dan cela. Diriwayatkan bahawa Nabi saw sering kali menunaikan solat pada tengah malam sehingga bengkak kedua-dua belah kaki Baginda. Maka ‘Aisyah ra bertanya kepada Nabi saw mengapakah Baginda bersusah payah menunaikan solat sehingga sedemikian rupa sedangkan Baginda telah diampunkan dosa-dosa oleh Allah swt? Maka jawab Nabi saw: “Apakah tidak boleh untuk aku gemar menjadi hamba yang bersyukur.” (Hadith Riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya).

Daripada hadith ini jelaslah bahawa Nabi saw tidak hanya sama sekali bersolat pada malam-malam Ramadhan sahaja tetapi Baginda meneruskannya di luar daripada malam-malam Ramadhan. Malah solat sunat witir bukanlah hanya sekadar dilakukan pada bulan Ramadhan tetapi turut sama dilakukankan oleh Baginda di setiap malam lain tanpa pernah sama sekali meninggalkannya.

Pada sepuluh malam terakhir Ramadhan Allah swt menyediakan malam-malam keampunan kepada para hamba-Nya. Malam-malam tersebut merupakan malam-malam yang paling mulia berbanding malam-malam lain. Walaupun begitu Allah swt menghadiahkannya sepuluh waktu siang yang mulia di luar daripada bulan Ramadhan  iaitu pada sepuluh awal Zulhijjah. Sabda Nabi saw: “Tidaklah sesuatu amalan soleh itu lebih disukai oleh Allah swt daripada hari-hari ini (sepuluh akhir Zulhijjah).” (Hadith Riwayat Abu Daud).

Umat Islam dianjurkan untuk membaca dan mentadabbur al-Quran sama ada pada bulan Ramadhan mahupun pada bulan-bulan lain. Amat menyedihkan apabila ada sesetengah individu yang mengenali dan membaca al-Quran hanya pada bulan Ramadhan. Perlulah disedari bahawa al-Quran adalah perlembagaan hidup bagi seluruh umat Islam. Malah membaca al-Quran hanya pada bulan Ramadhan memperlihatkan kelemahan iman apabila tiada penerusan dalam bulan-bulan lain. Walaupun seseorang itu membaca dan menghayati kandungan al-Quran di luar bulan Ramadhan secara sedikit demi sedikit namun ialah lebih bermakna daripada tergesa-gesa menghabiskan keseluruhan al-Quran tanpa memahaminya hanya pada bulan Ramadhan. Biarlah sesuatu amalan kebaikan dilakukan secara sedikit namun ianya perlulah berterusan. Sabda Nabhi saw: “Lakukanlah sesuatu amalan itu dengan kemampuan kamu, sesungguhnya sebaik-baik amalan adalah yang berterusan walaupun sedikit.” (Hadith Riwayat Ibn Majah dengan sanad yang sahih).

Begitulah juga dengan ibadah sedekah dan infaq di jalan Allah swt. Walaupun kita disunatkan untuk bersedekah pada bulan Ramadhan, namun sifat mulia dan terpuji ini perlulah diteruskan di luar daripada bulan Ramadhan. Bantulah saudara-saudara seagama dengan menghulurkan sumbangan ikhlas bagi meringankan beban dan kesusahan hidup mereka. Sesungguhnya orang-orang muslim itu hidup bersaudara ibarat anggota-anggota badan yang berada pada satu jasad. Maka berilah bantuan dalam apa jua bentuk kepada saudara-saudara seagama terutamanya mereka yang ditindas seperti di Palestin, Syiria, Myanmar dan sebagainya. Sesungguhnya terdapat keberkatan pada harta-harta yang kita infaqkan di atas jalan kebaikan. Satu sedekah yang diberikan di jalan Allah melahirkan tujuh ratus balasan ganjarannya di sisi Allah swt. Firman Allah swt: “Perumpamaan mereka yang mengeluarkan harta di jalan Allah seperti sebutir benih yang mengeluarkan tujuh tangkai dan setiap tangkainya mengandungi seratus biji, dan Allah melipat gandakan (rezeki-Nya) bagi sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dialah yang Maha Luas (rahmat kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah: 261).

Sesungguhnya rahmat dan pengampunan Allah swt itu sentiasa terbuka bagi seluruh umat Islam. Pada bulan Ramadhan setiap hamba Allah mengharapkan rahmat dan pengampunan daripada-Nya melalui doa yang dipenuhi dengan seribu satu permintaan dan pengampunan. Namun rahmat dan pengampunan Allah swt tidak hanya ada pada bulan Ramadhan malah pada setiap ketika dalam kehidupan manusia. Jika doa seseorang muslim yang berpuasa pada bulan Ramadhan itu diterima permintaannya sehingga beliau berbuka namun permintaannya masih tetap dimakbulkan pada setiap hari di waktu yang cukup mustajab doa iaitu sepertiga malam yang terakhir. Sabda Nabi saw: “Sesungguhnya Allah swt itu turun ke langit dunia  pada sepertiga malam yang terakhir lantas bersabda: Sesiapa yang memohon kepada-Ku maka akan Aku berikan, sesiapa yang berdoa kepada-Ku maka akan Aku makbulkan dan sesiapa yang memohon keampunan dari-Ku maka akan Aku ampunkan.” (Hadith Muttafaqun ‘Alaih).

Kesimpulannya perjalanan ibadah dan amalan soleh tidak hanya berlaku hanya pada bulan Ramadhan yang telah kita lalui tetapi perlulah turut sama berterusan dan istiqamah (komited) di luar daripada bulan Ramadhan. Jadilah hamba Allah swt yang sentiasa ikhlas beribadah kepada-Nya tanpa mengira musim mahupun waktu yang tertentu.

One Response to Amalan-amalan Kebaikan Di Luar Bulan Ramadhan.

  1. wafa says:

    Sabda Nabi saw: “Sesungguhnya Allah swt itu turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang terakhir lantas bersabda: Sesiapa yang memohon kepada-Ku maka akan Aku berikan, sesiapa yang berdoa kepada-Ku maka akan Aku makbulkan dan sesiapa yang memohon keampunan dari-Ku maka akan Aku ampunkan.” (Hadith Muttafaqun ‘Alaih).

    ustaz boleh tafsirkan lebih terperinci x hadith yg ni? saya agak x phm part ”..turun ke langit dunia..” trima kasih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>