Amal Ibadah Yang Diterima Oleh Allah swt

930-5

Manusia diciptakan oleh Allah swt di atas muka bumi ini dengan satu tujuan yang besar iaitu untuk tunduk patuh kepada segala perintah dan juga meninggalkan segala tegahan-Nya. Allah swt tidak menciptakan manusia secara sia-sia. Perkara ini bertepatan dengan firman-Nya: “Adakah kamu menjangka bahawa Kami menciptakan kamu secara sia-sia dan kamu tidak akan pulang kepada Kami?”. (Surah al-Mukminun: 117). Sesungguhnya kehidupan manusia yang berpaksikan perhambaan kepada Allah swt adalah kehidupan yang sempurna dan mulia. Kehidupan mereka berbeza dengan haiwan ternakan yang hanya hidup untuk memenuhi keperluan fizikal dan juga kepuasan nafsu semata-mata tanpa ada taklif iaitu tuntutan daripada Allah swt. Malah Allah swt menggambarkan manusia yang tidak mengikut perintah Allah swt ini sebagai lebih teruk daripada haiwan ternakan. Firman Allah swt: “Sesungguhnya Kami akan mencampakkan ke neraka Jahannam daripada kalangan jin dan manusia. Mereka mempunyai hati yang tidak mahu memahami, mempunyai mata yang tidak mahu melihat dan mempunyai telinga yang tidak mahu mendengar. Mereka ibarat haiwan-haiwan ternakan malah lebih sesat daripada itu dan merekalah orang-orang yang lupa”. (Surah al-A’raf: 179).

Dalam menentukan sesuatu amal ibadah itu diterima oleh Allah swt, terdapat 3 syarat utama yang perlu diambil perhatian. Tanpa ketiga-tiga syarat ini sesuatu amalan itu tidak dikira sebagai ibadah di hadapan Allah swt. Malah mungkin amalan tersebut akan membawa manusia kepada lembah dosa.

Syarat pertama dalam penerimaan sesuatu amal ibadah itu ialah seseorang itu mestilah muslim iaitu beragama Islam. Amalan kebaikan yang dilakukan oleh mereka yang bukannya beragama Islam tidak akan dikira sebagai amalan soleh di akhirat kelak. Amalan-amalan kebaikan tersebut akan tertolak di hadapan Allah swt. Perkara ini berdasarkan firman Allah swt: “Apabila kami dibawakan amalan-amalan yang telah mereka kerjakan (di dunia) maka Kami jadikannya ibarat debu-debu yang berterbangan”. (Surah al-Furqan: 23). Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh mereka yang tidak beragama Islam hanya akan diberikan kebaikan oleh Allah swt di dunia sahaja dan di akhirat kelak adalah sebaliknya. Perkara ini berdasarkan sabda Baginda: “Sesungguhnya Allah swt tidak akan menzalimi seseorang mukmin yang melakukan kebaikan. Dia akan diberikan ganjaran di dunia dan mendapat pembalasan baik di akhirat. Manakala mereka yang tidak beragama Islam pula akan diberikan balasan kebaikan melalui amalan tadi hanya di dunia dan tidak akan diberi ganjaran terhadap amalan tersebut di akhirat kelak”. (Direkodkan oleh Imam Muslim dalam kitab Sahih beliau).

Mungkin timbul persoalan di benak fikiran kita, mengapakah mereka yang bukan beragama Islam tidak dikira amalan kebaikan tersebut sebagai ganjaran pahala di akhirat nanti? Malah mereka tidak pernah dilihat sama sekali melakukan kejahatan dan juga kerosakkan di atas muka bumi. Dalam hal ini kita perlu sedar bahawa dosa mereka yang tidak menyembah Allah itu adalah dosa yang paling besar dan tidak boleh dimaafkan oleh-Nya walaupun mereka melakukan kebaikan di atas muka bumi. Dosa tidak menyembah Allah dan juga dosa mensyirikkan-Nya adalah merupakan kemaksiatan terbesar berbanding dosa-dosa kemaksiatan yang kita sedia maklum seperti membunuh, berzina, minum arak, riba dan sebagainya. Hak perhambaan adalah hak mutlak bagi Allah tanpa sebarang bentuk penyekutuan kepada-Nya. Maka sesiapa yang menyembah selain Allah atau menyekutukan-Nya mereka adalah golongan yang tidak memberikan hak utama kepada Allah iaitu perhambaan dan tidak akan dinilai amalan kebaikan tersebut di akhirat walaupun mereka dikenali sebagai insan baik di mata manusia lain.

Syarat kedua dalam penerimaan sesuatu amal ibadah ialah niat ikhlas hanyasanya kerana Allah swt. Sesuatu amalan itu akan dikira ibadah jika ianya betul-betul dilakukan kerana Allah swt tanpa ada tujuan-tujuan yang lain. Dalam hal ini Allah swt telah berfirman: “Tidaklah mereka itu disuruh kecuali untuk beribadah kepada Allah swt dengan penuh keikhlasan”. (Surah al-Bayyinah: 5). Apabila seseorang itu melakukan amal ibadah atas niat selain Allah swt maka ianya boleh mengundang kepada dosa besar, malah kadang kala boleh membawa kepada mensyirikkan-Nya. Antara dosa besar dalam ibadah ialah riya’. Riya’ bermaksud melakukan sesuatu ibadah untuk mengharapkan pujian manusia daripada amalan tersebut. Malah sifat riya’ ini juga diketegorikan oleh para ulama’ sebagai syirik kecil berdasarkan firman Allah swt: “Sesiapa yang ingin menemui Penciptanya maka hendaklah dia melakukan amalan soleh dan tidak melakukan syirik semasa menyembah Tuhannya”. (Surah al-Kahf: 110). Malah sifat riya’ ini juga diketegorikan oleh para ulama’ sebagai syirik kecil.

Kadang kala apabila amal ibadah itu terpesong niatnya maka boleh menyebabkan seseorang itu mensyirikkan Allah swt. Contohnya seseorang yang menyembelih haiwan ternakan selain kerana Allah swt seperti sembelihan di atas tanah-tanah perkuburan. Begitulah juga doa yang diseru kepada roh-roh manusia terutamanya di kalangan para solihin dengan harapan akan diterima oleh Allah swt. Perkara ini semua dikira sebagai pemesongan niat yang membawa kepada mensyirikkan Allah swt.

Syarat ketiga dan terakhir ialah sesuatu amal ibadah itu mestilah selari dengan syariat Islam. Apakah yang dimaksudkan selari dengan syariat Islam? Maksud selari dengan syariat Islam ialah selari dengan nas-nas daripada al-Quran dan juga Sunnah Rasulallah saw. Segala amal ibadah yang dibawa tanpa ada sandaran daripada al-Quran dan Sunnah tidaklah dinamakan sebagai ibadah malah kadang kala ianya disebut sebagai sesuatu yang diada-adakankan dalam urusan agama atau lebih sinonim dengan istilah bid’ah. Walaupun sesuatu amalan itu kelihatan sebagai baik pada pandangan manusia belum tentu ianya baik pada pandangan Islam.

Malah kita perlu sedari bahawa sebaik-baik amal ibadah ialah sesuatu yang lebih hampir kepada kehidupan Rasulallah. Jika berlakunya kekurangan mahupun penambahan maka kita sebenarnya semakin jauh daripada pedoman ibadah yang ditunjukkan oleh Baginda saw. Dalam hal ini Rasulallah saw telah bersabda: “Sesiapa yang membawa sesuatu dalam urusan kami (ibadah) yang tiada kaitan dengannya maka ianya adalah tertolak”. (Hadith Muttafaq ‘Alaih).

Oleh demikian setiap manusia wajib memperhambakan diri kepada Allah swt tanpa sebarang bentuk syirik. Malah ketiga-tiga syarat ini perlu ada dalam amalan ibadah seharian mereka agar ianya diterima oleh Allah swt sebagai amalan soleh di akhirat kelak. Selain itu juga setiap manusia perlu menjaga dirinya daripada melakukan dosa-dosa semasa beribadah kepada Allah swt.

One Response to Amal Ibadah Yang Diterima Oleh Allah swt

  1. Mahdi says:

    Salam IM Asyraf,

    Saya kurang jelas pada perenggan ke-6. Contoh2 tersebut, adakah contoh amalan2 sesat..? Seperti ada kepercayaan2 lain..?

    Yang kedua, pada perenggan ke-5, mengenai riak dalam beribadah. Baik, saya setuju. Cuma soalan saya, jika buat amal untuk dorongan orang ramai, seperti bayar zakat, solat berjemaah, majlis zikir. Amalan2 ini akan menjadi perbualan orang, akan dilihat orang. Jadi, soalan saya, boleh imam jelaskan, bagaimana kita nak bezakan amalan kita yang berunsur riak, dan yang betul2 ikhlas kerana Allah.

    Maaf, saya hanya budak baru belajar. Wallahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>