Menjaga Hubungan Persaudaraan

Hubungan Silaturahim

Dalam al-Quran al-Karim Allah swt telah berfirman: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara, maka perbaikilah (perhubungan) antara dua saudara kamu yang bertelagah. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah moga-moga kamu semua mendapat rahmat”. (Surah al-Hujurat: 10). Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa setiap muslim itu merupakan saudara kepada muslim yang lain. Maka kita dituntut untuk mengeratkan hubungan persaudaraan dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi dan perpecahan umat.

Sesungguhnya persaudaraan dalam Islam dibina atas dasar Iman kepada Allah swt. Sebagai hamba-hamba yang beriman kita perlu sedar bahawa  kita semua adalah bersaudara. Sabda Rasulullah saw: “Seseorang muslim  itu adalah saudara kepada muslim yang lain. Maka janganlah menzaliminya dan juga janganlah membiarkan dia dizalimi. Sesiapa yang menunaikan kehendak saudaranya maka sesungguhnya Allah akan menunaikan kehendaknya. Sesiapa yang membantu meringankan penderitaan saudaranya maka Allah swt meringankan penderitaan-penderitaannya. Sesiapa yang menutup (keaiban) seseorang muslim maka Allah akan menutup keaibannya di akhirat kelak”. (Hadith riwayat al-Bukhari).

Hadith ini menjelaskan kepada kita tentang ganjaran bagi mereka yang memelihara hubungan persaudaraan sesama muslim. Dengan menjaga hubungan persaudaraan ini Allah swt memelihara segala urusan kita sama ada di dunia mahupun di akhirat. Contohnya apabila kita membantu saudara kita dengan rasa ikhlas kerana Allah swt maka Allah akan menunaikan segala hajat yang kita pinta kepada-Nya. Begitulah juga kita disuruh agar membantu saudara kita dengan meringankan kesedihan mahupun penderitaannya kerana Allah akan meringankan segala penderitaan kita ketika bertemu-Nya di akhirat kelak. Daripada hadith ini juga kita diminta untuk menutup keaiban dan apa sahaja kecelaan yang terdapat pada manusia lain kerana apabila kita menutup keaiban mereka maka Allah akan menutup segala keaiban kita.

Persaudaraan dalam Islam perlu melalui tiga proses yang utama. Pertamanya ialah al-Ta’aruf iaitu proses perkenalan. Pada peringkat ini akan berlaku hubungan suai kenai seperti mengetahui nama, asal, tempat tinggal, perkerjaan dan sebagainya lagi yang perkaitan hanya dengan maklumat-maklumat peribadi. Setelah beberapa lama proses al-Ta’aruf itu berlaku maka ian akan sampai kepada proses kedua iaitu al-Tafahum iaitu proses untuk saling memahami antara sesama muslim. Pada waktu inilah kita akan mengenali rakan kita dengan lebih mendalam. Kita akan lebih faham tentang peribadi-peribadinya dengan lebih dekat. Hal ini termasuklah perkara-perkara yang disukai mahupun dibencinya. Setelah melalui proses al-Tafahum ini maka akan terbentuk pula proses yang ketiga iaitu al-Takaful atau al-Takamul iaitu proses lengkap melengkapi antara sesama muslim. Apabila sampai ke peringkat ini maka seseorang muslim itu akan cuba membantu dan melengkapi kehidupan sahabatnya yang lain. Malah kemungkinan akan sampai kepada peringkat al-Ithar iaitu mendahulukan saudara mahupun sahabatnya berbanding dirinya sendiri.

Apabila menyebut tentang persaudaraan sesama muslim maka ianya melibatkan hubungan kita bersama ahli keluarga mahupun masyarakat sekeliling. Persaudaraan paling utama yang perlu dititik beratkan ialah hubungan silatul rahim sesama ahli keluarga iaitu mereka yang ada hubungan kerabat.  Contoh yang paling utama ialah seseorang anak itu perlu menghormati kedua ibubapanya dengan mengikut segala perintah mereka berdua selagimana ianya tidak bertentangan dengan syara’. Begitulah juga dengan menjaga hubungan silatulrahim sesama ahli keluarga yang lain. Amat menyedihkan apabila ada dikalangan masyarakat kita yang tidak bertegur sapa sesama ahli keluarga malah ada yang sanggup memutuskan tali silatul rahim yang telah terjalin sejak sekian lama.

Sesungguhnya hubungan silatulrahim ini cukup besar dan utama di sisi Allah swt. Dalam sebuah hadith yang telah diriwayatkan oleh Aishah ra, Rasulullah saw telah bersabda: “Sesungguhnya hubungan silatul rahim itu akan tergantung dengan Arash. Dan dia berkata : “Sesiapa yang menyambungkan aku maka Allah akan turut menyambungkan ia”. (Hadith Muttafaq ‘Alaih). Pemahaman daripada hadith ini ialah sesiapa yang menjaga kukuh ikatan silatul rahim ini maka Allah swt akan menjaganya dan merahmati segala perjalanan hidupnya di dunia ini sehinggalah bertemu-Nya.

Dalam hadith yang lain Rasulullah saw turut bersabda: “ Sesiapa yang ingin supaya Allah membuka pintu rezeki baginya dan juga memanjangkan umurnya maka kukuhkanlah ikatan silatul rahim”. (Hadith riwayat al-Bukhari). Daripada hadith ini jelas menceritakan kepada kita bahawa sesiapa yang menjaga hubungan silatul rahim maka Allah swt akan memudahkan urusan kehidupannya dengan memurahkan rezeki kepada hamba-hambaNya dan juga pada masa yang sama Allah memanjangkan usianya bersama-sama nikmat-nikmat tersebut.

Di samping itu kita juga diwajibkan menjaga hubungan persaudaraan dengan manusia yang paling hampir dengan  kita iaitu jiran. Malah dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, Rasulullah saw telah meletakkan kecintaan kepada jiran sebagai salah satu daripada ciri-ciri mereka yang beriman kepada Allah swt. Dalam hadith yang lain dengan riwayat yang sama Rasulullah saw telah menyatakan bahawa memuliakan jiran tetangga terdiri daripada sifat-sifat orang yang beriman.

Namun sesuatu yang amat menyedihkan apabila kemesraan sesama jiran tetangga ini dipandang remeh oleh masyarakat kita pada hari ini terutama di kawasan bandar. Malah ada di kalangan kita yang mungkin tidak selesa dengan kemesraan jiran walaupun hanya untuk bertegur sapa. Ingatlah bahawa jiran adalah insan yang paling hampir dengan kita. Tiada manusia lain yang lebih pantas untuk membantu kita di kala susah melainkan jiran yang berada di sebelah rumah kita. Maka muliakanlah jiran dan jangan sekali-kali menyakita hatinya kerana menyakiti hati jiran termasuk daripada dosa-dosa besar di sisi Allah swt.

2 Responses to Menjaga Hubungan Persaudaraan

  1. Ai'na says:

    Assalamuaalaikum ustaz. maaf jika persoalan saya menyimpang daripada topik yang dibincangkan oleh ustaz.
    Ustaz, kenapa kalau kita mengambil wuduk mesti menutup aurat dalam keadaan ramai orang dan apabila aurat kita terlihat, wuduk kita terbatal?
    tq ustaz

  2. afiez says:

    asalamualaikum ustaz saya nak tanya kalau memutuskan silaturahim lebih pada tiga hari berdosa ke ustaz kalau kita bimbang dia akan berbuat lagi benda buruk kepada kita perlu jugak kita memaafkanya berkali kali

    terima kasih ustaz

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>